Perodua mendaftarkan 27,858 kenderaan pada Oktober 2021, yang mana rekod terdahulu dicatatkan tepat pada 12 bulan sebelumnya dengan 26,848 kenderaan dijual pada Oktober 2020, yang mana turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Record.
Rekod baharu ini tercatat dengan peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada para pelanggan kerana pengeluar kereta kompak tersebut mensasarkan untuk menghantar sebanyak mungkin kenderaan pada suku keempat 2021.
“Pencapaian ini adalah komitmen kami terhadap para pelanggan kami dan ianya mewakili peningkatan sebanyak 90.67% daripada 14,160 unit yang dijual pada September 2021. Kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran terutamanya untuk tahun ini,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.
Daripada 27,858 kenderaan Perodua yang didaftarkan, 8,761unit adalah Myvi, 5,973 unit Axia, 5,257 unit Bezza, 3,973 unit Ativa, 2,553 unit Alza dan 1,341 unit Aruz
Dari segi pengeluaran, beliau berkata Oktober 2021 juga menyaksikan jumlah kenderaan tertinggi yang pernah dikeluarkan dengan catatan sebanyak 29,803 unit dalam tempoh sebulan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Perodua yang telah melakukan yang terbaik untuk memastikan para pelanggan kami menerima kenderaan Perodua mereka secepat mungkin,” kata Dato’ Zainal.
Beliau berkata pencapaian 29,803 unit itu adalah di luar kapasiti pengeluaran semasa Perodua, namun kakitangannya mampu meningkatkan produktiviti mereka dengan tahap kualiti yang sama walaupun tanpa kakitangan, peralatan atau jentera baharu.
“Kami sentiasa mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan keseluruhan operasi kami dengan memastikan semua kakitangan kami mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 dan pada masa yang sama memastikan kami menjangkaui semua keperluan kualiti,” kata Dato’ Zainal.
Dato’ Zainal berkata lanjutan Pengecualian Jualan Cukai yang diumumkan baru-baru ini amatlah dialu-alukan kerana ia membolehkan ekosistem automotif mempunyai lebih banyak ruang untuk pulih ekoran penutupan baru-baru ini serta mengejar permintaan.
“Lanjutan Pengecualian Jualan Cukai juga akan memberi manfaat kepada semua, daripada pengguna kepada pengeluar komponen asli serta para pembekal yang juga turut terjejas akibat kekurangan bekalan semikonduktor di peringkat global,” tambahnya.
Setakat tahun ini, Perodua mencatatkan 146,951 unit dari Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu 14.5% di bawah 171,861 yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2020.
“Kami berterima kasih kepada Malaysian Book of Records kerana mengiktiraf pencapaian kami tahun lepas dan kami akan terus membina pengiktirafan tersebut dengan menghasilkan dan mendaftar sebanyak mungkin kenderaan pada masa akan datang dan dengan berbuat demikian, ianya membuktikan komitmen kami kepada para pelanggan kami,” Dato’ Zainal berkata.
“Baki dua bulan lagi tahun ini akan menjadi satu cabaran kerana kedua-dua Perodua dan ekosistemnya masih menghadapi cabaran bekalan akibat pandemik yang masih berterusan dan kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami atas kesabaran dan kefahaman mereka dari segi penghantaran kenderaan,” tambahnya.