Akhirnya, Nissan Note Aura Nismo telah didedahkan secara rasminya sebelum mula dipasarkan di Jepun tidak lama lagi. Perkara pertama yang benar-benar menyerlah adalah rekaannya yang diinspirasikan dari kereta lumba Formula E Nissan.
Bahagian hadapannya menampilkan splitter Nismo berwarna merah. Kereta ini juga dilengkapi dengan roda aluminium 17-inci, penutup cermin merah, skirt sisi merah dan juga fascia belakang agresif termasuk pakej bampar dan diffuser.
Perubahan diteruskan ke dalam bahagian kabin termasuk bucket seat dengan sarung tempat duduk yang diperbuat dari gabungan fabrik dan kulit sintetik. Di tempat duduk ini juga didatangkan bersama logo Nismo bersulam dengan jahitan merah dan kelabu.
Nota Aura Nismo ini dikuasakan dengan sistem e-Power yang sama seperti model biasa, menggabungkan enjin 3-silinder 1.2 liter yang berfungsi sebagai penjana dan juga sepasang motor elektrik untuk memacu roda. Ia menghasilkan 134 hp dan tork 221 lb-ft (300 Nm).
Varian Nismo ini dilengkapi dengan 3 mode pemanduan termasuk mode Nismo yang memberikan respons dan pemecutan lebih baik. Manakala mode Normal dan mode Eco pula memberikan penalaan istimewa untuk model ini agar pemanduan lebih selesa.
Menurut Nissan, penampilan eksterior Note Aura Nismo ini tampil unik dan menambah kekuatan yang memberi kestabilan pada kelajuan tinggi. Setup suspensinya juga unik untuk memberikan pengendalian yang lebih baik. Buat masa ini, pengeluar Jepun ini masih belum berkongsi maklumat terperinci termasuk kosnya.
Sumber : Carscoops