Industri automotif negara mencatatkan penyusutan mendadak apabila hanya 7,086 unit kenderaan terjual pada Julai berbanding 58,878 unit yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu. Dalam satu kenyataan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyatakan bahawa jualan yang dicatatkan pada Julai adalah 270 peratus lebih tinggi berbanding 1,921 unit yang diraih pada Jun 2021.
“Bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, industri menjual 256,215 unit, iaitu 10 peratus berbanding 232,423 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Bagi tempoh bulan dikaji, industri automotif menjual 4,949 unit kenderaan penumpang dan 2,137 unit kenderaan komersial, berbanding 53,415 unit dan 5,463 unit yang dijual masing-masing bagi kenderaan penumpang dan komersial pada Julai 2020.
“Jualan yang diraih pada Julai kebanyakan disumbangkan daripada Sabah dan Sarawak di mana bilik pameran dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pendaftaran kenderaan secara dalam talian bagi tempoh bulan dikaji juga sangat rendah,” katanya.
Dari aspek pengeluaran pula, MAA berkata, bagi tempoh Julai, hanya 2,775 unit kenderaan dihasilkan, berbanding 47,630 unit yang dikeluarkan pada Julai 2020.
Mengenai unjuran jualan Ogos 2021, MAA berkata, jualan pada bulan ini dijangka lebih tinggi berbanding Julai lalu.
“Bilik pameran di kebanyakan negeri termasuk pasaran utama di Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi berdasarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kadar vaksinasi pekerja,” katanya.
Sumber : BHarian