“Betul ke Evo? Awat pendek semacam? Mana pintu belakang?” soal Saadon Martopo (bukan nama sebenar) yang masih keliru dengan status kereta ini. Tapi kepada mereka yang into dengan modifikasi tiga demen, rasanya dah boleh agak model apa…
Sebetulnya, ini adalah model Asti ZR dari keluarga Mirage yang memang sebaya dengan Lancer CK kebanyakan. Ia dibeli Apink pada harga jackpot, lepas lama tersadai di sebuah laman kereta terpakai. Cermin sisi belakang pecah sebenarnya. Tauke tu pulak tak reti nak cari mana. Sebab J and A Autoparts tu Apink yang punya, belum petik jari dah dapat benda yang dicari.
Di peringkat awal, Apink agak berpuas hati dengan rupa dan prestasi kereta ini. Lama jugak ia begitu, sehinggalah hatinya terbuka untuk mengubah penampilan kereta ini secara total. Kes kena racun ler nih… Mengikut contoh yang ada, matlamat ubahsuainya agak mudah, untuk menghasilkan sebuah Evo Coupe yang mecik terok!
Seperti yang boleh kita nampak, Apink telah menggunakan kit badan Evo V yang lengkap, termasuk tambahan cermin sisi Ganador dan skup bumbung RalliArt. Rare jugak nih! Pakej diteruskan dengan dekorasi stiker badan, menyerupai jentera Evo V WRC yang digunakan oleh Tommi Makinen dan Richard Burns pada tahun 1998.
Bahagian roda menyaksikan penggunaan rim lebar Enkei RP01, yang dibalut pada tayar Federal 595 dari saiz berbeza. Dapat Enkei Tarmac Evo lagi mari nih. Memberi karektor pengendalian lebih baik, sistem gantungan dibantu set suspensi boleh laras Tein Super Street. Sementara kuasa hentian pulak datang dari kit brek AP Racing di bahagian depan, yang digabungkan bersama brek Brembo EVO VII untuk belakang.
Kereta ini dibekalkan dengan enjin MIVEC terbalik secara standard. Ikutkan dah okey sangat. Tapi sebab niatnya nak jadi Evo, ia telah diketepikan dan diganti dengan 4G63T dari Evo V. Buat masa ini, tidak banyak yang Apink usik kecuali penempatan sepasang camshaft Tomei serta set piston Evo VIII. Tapi napa penutup silinder tu ada tulis MIVEC? Itu wayang ajer…
Untuk sistem pendesak, sedutan udara dibawa ke mulut turbin TD05 16G yang turut memegang wastegate Tail 38mm. Sebaik disejukkan, lebihan boost yang terbentuk akan dibawa keluar menerusi injap pelepas Turbosmart. Keperluan bahan api pulak dihantar oleh pam petrol Walbro, sambil dikawal unit regulator Arospeed. Memastikan jumlah kuasa yang setimpal, sistem pengurusan enjin kini diselia sepenuhnya oleh unit ECU Apexi Power FC.
Ruang dalaman datang dengan dashboard Evo V sebagai komponen utama. Ia kemudian diserikan dengan aksesori tambahan yang lain seperti meter utama RalliArt, stereng OMP-RalliArt, tombol gear RalliArt, karpet RalliArt, armrest telor, rak majalah ARP, sepasang tempat duduk Recaro TME, juga harness Takata dan Sabelt. Rangkaian gajet pemantau pulak terdiri daripada meter tengah RalliArt, unit commander Apexi Power FC, RSM Apexi, deretan meter Defi, paparan Defi OLED, serta pemasa enjin Blitz DC.
Kejayaan Apink mengangkat kereta ini sebagai sebuah Evo Coupe, sebenarnya cukup menarik khususnya di kalangan mereka yang inginkan kelainan. Benda jarang jumpa, tipulah kalau tak toleh dua kali.
Ni Apink la kamon…