Nissan memang terkenal dengan kereta pacuan belakang yang bagus. Siri S-Chassis misalnya, adalah contoh terbaik dan masih digunakan dengan meluas dalam sukan drift. Itu belum kira model pacuan 4 roda seperti GT-R. Namun untuk segmen pacuan depan, namanya agak tenggelam dan sering dibayangi model-model saingan yang lebih popular.
Siri Bluebird antara yang membantu menyelamatkan keadaan ini. Itu pun tak banyak, sebelum nama tersebut telah dimatikan terus pada tahun 2001. Bagi pasaran sebelah sini, kita sempat mengenali model U11, U12 dan U13, yang masih memiliki barisan peminatnya yang tersendiri.
Bluebird U12 mungkin antara contoh terbaik, bagaimana kereta lama seperti ini masih lagi relevan. Ia memiliki aura JDM sebenar walaupun dengan potongan badan lurus dan berkotak. Nampak sleek jer, tu pasal ia mampu bertahan lama. Bukan macam kereta moden sekarang. Nisbah lebar ngan tinggi pun tak reti nak ukur betul-betul…
Walaupun namanya burung biru, Shid tak minat pun nak guna kaler biru untuk keretanya. Beliau sebaliknya memilih kaler kuning terang yang jauh lebih menyilau. Katanya baru siap cat. Sebelum itu, kesemua komponen luaran telah digantikan dengan set versi U12 JDM yang lebih senonoh, meliputi keseluruhan bahagian depan, belakang serta sunroof.
Shid tak goyang dengan lambakan kasut tiruan yang cun-cun. Biar tak cun pun, janji pakai yang keras ori. Pilihan Shid merupakan rim olskool Stern berukuran 16-inci yang dibalut pada tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 205/55ZR-16. Kedudukan kereta kemudian, ditongkat menggunakan set suspensi boleh laras dari Tein.
Kalau nak tahu, kereta ini hanya dibekalkan dengan enjin 2.0-liter suapan kabreta. Dengan usianya yang makin lanjut, mengekalkan enjin ini bukan merupakan pilihan yang bijak. Memikirkan fungsinya sebagai kereta utama, Shid perlu menggantikan enjin ini dengan sesuatu yang lebih moden. Ada turbo pulak tuh. Apa lagi kalau bukan SR20DET pacuan depan!
Kemasukan enjin ini datang bersama peningkatan yang setara. Bahagian isi perutnya disegarkan dengan set piston Wiseco 87mm, termasuk kerja-kerja port & polish dan penempatan camshaft HKS di bahagian kepala silinder.
Untuk sistem pendesak, unit turbo Garrett T28 A/R.80 yang digunakan kini disangkut pada manifold turbo Tonnka. Juga disediakan, beberapa alat bantuan lain macam penapis udara Blitz, intercooler dan paip sambungan kustom, wastegate Tial Sport, serta injap pelepas GReddy Type S. Pengawal boost? Pakai tulang ikan sudah…
Bekalan bahan api dipam masuk oleh pam petrol Walbro, sebelum ditembak ke ruang pembakaran menggunakan set injektor 1000cc. Proses kawalan tekanan dibantu regulator dari Works Engineering, sementara sistem pengurusan enjin dipesongkan ke unit piggyback GReddy e-Manage. Pembentukan sisa pembakaran, seterusnya dikeluarkan menerusi paip kustom 3-inci serta muffler jenis HKS Silent Hi-Power.
Bahagian dalam disalin menggunakan komponen versi JDM yang lebih gelap. Kira hensem jugaklah untuk sebuah kereta berusia 27 tahun. Tempat duduk depan diganti dengan set kerusi milik Silvia S15, diikuti penggunaan stereng Momo airbag, meter boost HKS dan unit RSM Apexi.
Kereta Nissan sekarang seperti kehilangan taringnya dalam pasaran. Model-model yang ditawarkan sangat kurang memberangsangkan dari segi rupa dan kuasa. Mujur ada peminat tegar seperti Shid, yang masih kuat memperjuangkan legasi Nissan lama seperti ini…
SPESIFIKASI
- Nama – Shid RS
- Pengeluar – Nissan
- Model – Bluebird U12
- Tahun – 1989
- Enjin Asal – CA20
- Modifikasi Enjin – SR20DET, piston Wiseco 87mm, port & polish, camshaft HKS, turbo Garrett T28 A/R.80, manifold turbo Tonnka, penapis udara Blitz, intercooler & paip sambungan kustom, wastegate Tial Sport, injap pelepas GReddy Type S, kabel pencucuh Ultra, pam petrol Walbro, injektor 1000cc, regulator Works Engineering, GReddy e-Manage, radiator aloi
- Transmisi – Kotak gear 2WD LSD, set klac Ogura Racing
- Ekzos – Paip kustom 3-inci, muffler HKS Silent Hi-Power
- Luaran – Kit badan Bluebird U12 JDM
- Suspensi – Tein
- Brek – Skyline R33
- Rim & Tayar – Stern 16-inci & Toyo Proxes T1R 205/55ZR-16
- Dalaman – Komponen Bluebird U12 JDM, tempat duduk Silvia S15, stereng Momo airbag, meter boost HKS, RSM Apexi
- Bengkel – RS Garage Puchong