Satria ini pernah mengecapi zaman kegemilangannya, selepas dinobatkan selaku juara keseluruhan untuk perlumbaan drag anjuran MUSC bagi tahun 2010, 2011 dan 2012. Hebat! Masuk 2013, masalah teknikal mula dapat bertimpa-timpa. Ketika sedang asyik digasak, enjin yang digunakan tiba-tiba meletop kebabo. Dah 3 tahun kena lanyak, memang merajuklah kawan tuh…
Akibat sibuk menerima undangan selaku dejay sambilan, eh jokey sambilan, Yoo Yo selaku pemilik terpaksa melupakan hasrat untuk menyiapkan kereta ini bagi tujuan perlumbaan. Lama juga tersadai, sebelum Yoo memencenkannya terus dari persaingan.
Selepas dipencenkan, Yoo kemudian mengambil keputusan untuk membina semula kereta kesayangannya ini sebaik mungkin. Dapat wat jalan-jalan tepi pantai pun jadilah. Untuk itu, ia telah ditogelkan sampai ke tulang kering sebelum dicat semula. Ya, dia bukak semua sekali, termasuk enjin dan komponen dalaman. Bila dah tinggal rangka, baru ditolak masuk oven. Penat jugak nak pilih kaler, sebelum dimuktamadkan dengan kaler gold yang merecik!
Sebagai kereta jalan-jalan, Satria ini perlu datang dengan pakej yang memberangsangkan. Penggunaan kit badan Mirage Cyborg R dah tentu, termasuk cermin sisi ribu-ribu dari Ganador. Paling menarik, bahagian hood depan dikacuk dengan komponen EVO III, sebelum dipasangkan dengan bumper HKS Kansai. Lain betul rupanya. Rim pilihan macam biasalah, tak lari dengan Volk Racing TE37, lengkap bersama getah Bridgestone Potenza RE01R berukuran 205/45R-16 setiap satu.
Asas dalaman sedikit berbeza kerana dihidangkan dengan papan pemuka EVO IV yang lebih gemok. Kesemua panel-panel penting, kemudiannya digantikan dengan komponen milik Mirage Cyborg R. Disediakan juga beberapa perkakasan lain macam stereng Momo, tombol gear Sparco, tuas gear Cusco, serta sepasang tempat duduk Recaro SPG. Untuk tujuan pemantauan, paparan tambahan datang dari Defi 5 beradik yang turut mengandungi sebuah tachometer dengan lampu tukaran gear.
Bahagian enjin disempurnakan oleh Mie Ayam Motorsport, nama yang cukup disegani di arena sukan drag tempatan. Asasnya menggunakan enjin Mirage 4G61T sebelum dikacuk dengan komponen milik 4G63T dari EVO III. Kos binaan seperti ini mungkin tinggi sikit, tapi mudah menerima kelulusan tanpa bersoal jawab.
Apa pun, angka 1600cc tu sebenarnya wayang ajer. Ini selepas bahagian blok tersebut dikorek semula untuk menempatkan set piston Wiseco sebesar 86mm. Begitu juga dengan kepala silinder yang kini mengandungi sepasang camshaft HKS 272°, spring injap BC serta cam pulley kustom untuk tujuan pelarasan.
Sistem turbo menggunakan turbin Garrett GT3582 yang digantung pada manifold turbo Tonnka, lengkap bersama wastegate Tial 44mm. Bagi membantu proses sejukan, sebuah intercooler gabak GReddy telah ditempatkan di ruang bumpernya, sebelum disedut masuk menerusi throttle body Super90. Proses kemasukan boost dikawal unit pengawal boost GReddy Profec Type S, manakala lebihan boost yang tidak digunakan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas Tial.
Hantaran petrol datang dari pam petrol Walbro 455lph terus ke rel bahan api Sard. Ia ditembak menggunakan set injektor 1000cc Sard, dengan jumlah tekanan dikawal regulator juga dari Sard. Untuk proses pemetaan minyaknya, ia hanya diselenggara oleh unit AFC Neo Apexi. Aaah! Mana mungkin. Ini semua dusta belaka…!!!
SPESIFIKASI
- Nama – Yoo Yo
- Pengeluar – Proton
- Model – Satria 1.6 XLi
- Tahun – 1998
- Enjin Asal – 4G92 SOHC
- Modifikasi Enjin – 4G63T, blok 4G61T, piston Wiseco 86mm, galas enjin ACL Race, camshaft HKS 272°, spring injap BC, cam pulley kustom, turbo Garrett GT3582, manifold turbo Tonnka, wastegate Tial 44mm, intercooler GReddy, paip intercooler kustom, throttle body Super90, pengawal boost GReddy Profec Type S, injap pelepas Tial, pam petrol Walbro 455lph, rel bahan api Sard, injektor 1000cc Sard, regulator Sard, kabel pencucuh Ultra, AFC Neo Apexi, radiator Calsonic, penyejuk minyak Cusco
- Transmisi – Kotak gear EVO I, set klac Competition Clutch
- Ekzos – Paip kustom 3.5-inci, muffler Kakimoto Regu 06&R
- Luaran – Kit badan Mirage Cyborg R, cermin sisi Ganador, hood EVO III kustom, bumper depan HKS Kansai
- Suspensi – Tein
- Brek – Mitsubishi FTO, pad brek Brembo
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 16-inci & Bridgestone Potenza RE01R 205/45R-16
- Dalaman – Salinan komponen Mirage Cyborg R, papan pemuka EVO IV, stereng Momo, tombol gear Sparco, tuas gear Cusco, tempat duduk Recaro SPG, meter Defi
- Bengkel – Mie Ayam Motorsport