Menjelang tahun 2000, Toyota telah memperkenalkan generasi ke-9 (X110) untuk model ikonik Mark II. Ia kini lebih gemok, dengan rekabentuk yang jauh berbeza dari generasi sebelumnya. Lampu depan macam Altis, belakang pulak macam Mecedis. Langsung tak nampak sleek dan leper macam dulu-dulu. Nasib baik konfigurasi enjin 6-silinder pacuan belakang masih dikekalkan.
Ketika inilah Toyota mengambil keputusan untuk menggugurkan varian Chaser dan Cresta, akibat permintaan yang kian merudum. Pada masa yang sama, mereka telah memperkenalkan varian Verossa, sebuah Mark II versi dugong yang boleh tahan peliknya. Nak kasi feel ala Itali katanya. Entah apa jenis ketomlah yang diorang minum sampai keluar idea aneh macam ni.
Atas maksud inginkan kelainan, seseorang telah mengimport masuk kereta ini beberapa tahun dulu. Menurut hikayat, ia merupakan Verossa sah halal pertama dan satu-satunya yang pernah wujud di sini. Tak tahulah kalau ada lagi yang masuk senyap-senyap. Lepas pakai tak lama mana, ia telah beberapa kali bertukar tangan sebelum dijual kepada Shahrul. Biasalah diorang ni jenis suka torai-torai. Yang berani ambik pun kawan-kawan jugak. Memang tak jauh manalah perginya.
Jujurnya, Verossa kalau standard keluar kilang boleh menimbulkan rasa murung yang berpanjangan. Berbanding model Mark II biasa, ia memiliki profil depan yang amat berbeza dari norma kebanyakan. Rekabentuk belakang pun tak sama, termasuk bahagian sisi yang memiliki sepasang lekuk mengunjur dari hujung lampunya.
Tapi ubatnya mudah saja. Terdapat pilihan kit badan dari tuner terkenal yang boleh disuai padan. Untuk kereta ini, ia kini mengenakan kit badan versi Vertex Lang yang agak labuh, meliputi keseluruhan bumper, skirt sisi dan spoiler, termasuk tambahan hood gantian karbon. Nah, baru segak sket. Takdelah senteng macam makcik tak cukup kain.
Selari dengan itu, bahagian roda telah disarungkan dengan rim Volk Racing TE37 bersaiz 19-inci. Itu pun nampak kecik. Mungkin sebab profil tayar Good Year Eagle F1 yang dipilih agak nipis. Memudahkan proses pelarasan, sistem gantungan menggunakan set suspensi boleh laras dari Cusco. Manakala kuasa hentian, kini dipertingkatkan dengan kit brek 6-pot dari Endless di bahagian depan.
Dari segi hierarki, Mark II dan Verossa adalah sebuah sedan saiz sederhana yang berada di tengah-tengah antara Crown dan Altezza. Kerana itu, ia dilengkapi dengan enjin yang agak sederhana, termasuk 1JZ-GTE generasi ketiga sebagai pilihan paling berkuasa. Bersesaran 2.5-liter dengan sistem turbo tunggal jenis CT15B, ia turut memiliki sistem injap pemasa VVT-i untuk hantaran kuasa lebih lancar.
Kemampuan menjana kuasa sehingga 280PS, nampaknya sudah memadai. Nak pegi mana laju-laju. Buat masa ini, ia hanya menggunakan beberapa komponen tambahan seperti unit intercooler dan paip sambungan GReddy, injap pelepas Blitz Super Sound, penapis udara Apexi dan radiator aloi HPI Evolve. Sistem transmisi automatik asal juga terus dikekalkan. Sementara sistem ekzos menerima sebuah muffler Apexi N1, yang masih menghasilkan bunyi bertamadun.
Bahagian dalam menerima salinan komponen varian Speciale SG, versi talaan khas dari Modellista. Berbanding varian biasa, ia datang dengan kemasan alcantara berwarna oren, khususnya di bahagian tempat duduk dan panel pintu. Satu-satunya komponen elektronik yang ditambah adalah paparan digital Comtec Zero 74V, yang berfungsi mengkabo kondisi enjin ketika memandu. Itu pun tulis jepon.
Pepatah ada mengatakan yang kecantikan itu tidak wujud dengan sendiri, tapi dicipta oleh mereka yang memerhati. Sama macam Veronissa. Bukan rupa paras yang jadi ukuran, tapi statusnya sebagai model terhad yang perlu kita dihargai…