Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi lokasi paling hangat dan menjadi tumpuan para peminat dunia automotif dengan berlangsungnya Automechanika Kuala Lumpur 2023. Diadakan selama tiga hari berturut-turut dari 16 Mac sehingga 18 Mac yang lalu, penganjuran kali ini menyaksikan penyertaan dan sambutan yang agak menggalakkan. Bukan sahaja dari para pempamer, malah juga pengikut setia dunia automotif.
Menurut Pengurus Besar serta penganjur pameran dan acara perdagangan terbesar dunia, Messe Frankfurt (HK) Ltd, sepanjang menganjurkan pameran Automechanika Kuala Lumpur ini selama 20 tahun, pihaknya mengikut rapat industri Malaysia serta peserta industri yang terlibat.
Tidak dinafikan, industri automotif Malaysia kini berada di ambang transformasi berskala besar. Selain itu, pihak beliau berminat untuk menyertai landskap automotif seperti kenderaan elektrik (EV) dan Internet Pelbagai Benda (IoT). Tambahan pula, pameran ini bukan hanya diadakan berdasarkan pemikiran penganjur semata-mata tetapi juga mengambil kira pendapat rakan kongsi serta persatuan tempatan.
Bagi makluman, penganjuran Automechanika Kuala Lumpur 2023 kali ini menyaksikan peningkatan bilang para peserta dalam pameran perdagangan sekali gus mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah. Sebanyak 330 pempamer perdagangan daripada 17 negara dan wilayah seperti Australia, China, Jerman, Hong Kong, India, Itali, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Tidak cukup dengan itu, Automechanika Kuala Lumpur 2023 ini turut menyelitkan satu pertandingan audio kereta paling berprestik, EMMA yang juga berlangsung selama tiga hari dari 16 Mac sehingga 18 Mac.