Setiap kali tercetus keinginan untuk membeli kereta baharu, macam-macam yang kita rancang nak buat terutama sekali hendak membina sistem audio sendiri yang jauh lebih bagus dengan kelengkapan yang bukan calang-calang. Kalau boleh, nak pasang pemain utama yang dilengkapi ciri-ciri terkini. Tak cukup dengan itu, siap pasang niat nak speaker dari jenama itu dengan sistem talaan begini. Namun lain pula ceritanya bila kereta baharu dah ada tercongok depan mata, tak ada apa-apa yang dibuat. Pernah tak jadi macam tu?
Nak dijadikan cerita, Kar HiFi berpeluang bertemu dengan Abu dengan kereta Myvi baharunya. Kalau dilihat dari bahagian luar, memang dah cantik. Hampir semuanya dah dipasang baru termasuk rim sport, disc brake dan tidak ketinggalan pemakaian carbon fiber parts. Cuma bahagian dalamnya yang kurang dan macam langsung tak disentuh. Lihat sahaja pada plastik yang masih melekat pada pemapar pemain utama yang terletak di bahagian kokpit.
Abu mengakui yang beliau membiarkan sistem audionya dalam keadaan masih standard kerana keliru hendak bermula dari mana? Adakah beliau perlu menggantikan player (pemain utama) terlebih dahulu atau pun speaker. Sebenarnya, masalah itu bukan dihadapi oleh Abu seorang. Pasti ramai di luar sana yang turut keliru. Kalau anda pula bagaimana? Bahagian apa yang harus dimulakan terlebih dahulu?
Bagi memecahkan kebuntuan, Kar HiFi menerusi segmen Audio Junkies bersama bro Erman mengupas topik ini dengan lebih terperinci. Menurut bro Erman, lazimnya pemilik kereta boleh mulakan dengan menggantikan pemain utama stok kilang terlebih dahulu. Pelbagai pilihan yang ada di pasaran termasuk pemain utama aftermarket dan juga yang sedang hangat sekarang iaitu pemain android. Bergantung kepada penggunaan dan pilihan pemilik kereta kerana ada yang mengutamakan ciri-ciri terkini termasuk Youtube, sambungan ke internet dan macam-macam lagi.
Apa yang paling penting, ia bergantung kepada kehendak hati pemilik kereta itu sendiri. Ada yang memerlukan aplikasi maps supaya mudah untuk bergerak ke sana ke sini berpandukan maps yang disediakan. Ada memilih hiburan menerusi Youtube dan macam-macam lagi. Sekiranya pemilik kereta lebih cenderung mendengar muzik Sound Quality, terdapat banyak pilihan seperti single din atau double din yang mungkin tidak menampilkan ciri-ciri seperti yang ada pada pemain android tetapi masih ada keistimewaan tersendiri. Salah satunya, sambungan kepada amplifier, RCA output untuk sambungan ke amp RCA output.
Voltan yang ada pada pemain ini pula mungkin lebih tinggi dan mampu menghasilkan bunyi yang jauh lebih baik. Jika diperhatikan dengan teliti, casing pemain utama ini ada yang didatangkan dengan warna silver, emas atau copper. Lazimnya, casing dengan warna copper ada pada pemain utama high-end kerana diperbuat dari bahagian-bahagian yang lebih berkualiti berbanding pemain biasa.
Selain itu, ada juga pemain utama yang dipanggil sebagai Pure Deck yang selalunya untuk pemain single din dan memerlukan amp. Bila ada amp, barulah ia mampu mengeluarkan bunyi. Fungsinya pula hanya sekadar masuk dan keluarkan CD sahaja. Namun begitu, semuanya berbalik kepada citarasa dan kehendak pemilik kereta itu sendiri. Nak yang ada banyak kegunaan atau pun cukup sekadar main radio macam dulu-dulu. Eh…
Seterusnya atau masuk pula bahagian kedua adalah pemilihan speaker. Satu yang anda perlu tahu, setup setiap kereta tidak sama. Ada kereta yang menggunakan speaker pintu bahagian depan, ada yang letak di panel pintu sebab tiada ruang lain dan ada juga memilih untuk meletakkan speaker di bahagian belakang (tempat duduk penumpang). Sebelum nak bina sistem audio, pemilihan setup speaker juga amat penting serta harus dikaji terlebih dahulu keadaannya dan mengikut kesesuaian.
Pemilihan penalaan sistem audio juga amat penting kerana ada yang minat Sound Quality (SQ) dan ada juga yang berkenan dengan Sound Pressure Level (SPL). Jika diperhatikan, ada sesetengah kereta tidak disediakan lubang di panel pintu untuk pemasangan speaker. Kebetulan, Myvi baru ini ada disediakan ruang dan ia memudahkan untuk pemasangan speaker baru plug & play. Ada juga bahagian pillar yang sudah sedia untuk dipasangkan dengan tweeter. Bukan itu sahaja, tweeter juga boleh ditempatkan di sudut dashboard. Kalau posisi kelengkapan audio ini kurang tepat, dikhuatiri bunyi output juga tidak berapa nak cantik.
Jika anda memilih untuk memasang penalaan sistem audio SQ 2-way yang ringkas, apa yang diperlukan hanya 1 mid bass atau mid range dan 1 tweeter. Kalau talaan SQ 3 way pula, hanya perlu tambah satu unit speaker. 1 unit mid bass yang selalu diletakkan di bahagian pintu, mid range yang anggaran saiznya dalam 4 atau 3 dan ada juga 2 inci setengah yang biasa digunakan serta diletakkan dekat dengan bahagian pillar. Ini diikuti dengan seunit tweeter.
Seterusnya, pemasangan sound proofing yang mana sering diabaikan oleh kebanyakan pemilik kereta. Lazimnya, panel pintu kereta baharu akan menghasilkan sedikit bunyi bising. Malah, ia akan bergegar sekiranya bunyi muzik dipasangkan terlalu kuat dan bukan itu sahaja, ia juga menghasilkan bunyi lompong. Kalau anda benar-benar berminat untuk memasang sistem audio yang sempurna, memasang sound proofing ini adalah satu pilihan yang sangat tepat. Pemasangan sound proofing ini diperlukan di bahagian pintu, bonet, lantai, bumbung dan boot. Tidak dinafikan pemasangan sound proofing ini akan menambahkan berat kereta tetapi dalam masa yang sama, meningkatkan kualiti bunyi dan kedengaran lebih padu.
Kemudian, pemilihan subwoofer yang juga tidak kurang pentingnya. Di pasaran hari ini, terdapat pelbagai jenis woofer yang ditawarkan. Ada yang dalam bentuk box dan underseat subwoofer. Subwoofer jenis box ini biasanya bermasalah dari segi ruang. Manakala underseat subwoofer pula didatangkan dengan built-in amp yang tidak memerlukan pemasangan amplifier berasingan. Kalau subwoofer jenis box, pemasangan amplifier adalah sangat penting dan ini menambahkan lagi kerja serta banyak kabel yang diperlukan.
Akhir sekali, seperti yang disebut tadi adalah pemasangan amplifier. Terdapat pelbagai amplifier seperti 2 channel, 4 channel, 6 channel, 8 channel dan juga amplifier monoblock. Bagi menyentuh lebih mendalam, kena tunggu di entri yang akan datang. Boleh, kan?