Hari ini, kenderaan jenis wagon bukanlah pilihan utama sejak diambil alih oleh segmen SUV yang lebih praktikal. Jaringan pengeluar pun macam malas nak layan, selepas memikirkan saiz pasarannya yang kian mengecil. Suka atau tidak, ia kini hanya ditawarkan untuk pelanggan kelas premium, yang hampir mustahil untuk kita gapai.
Tinggallah barisan wagon lama untuk dimainkan. Dari sebuah kereta tokey pasar malam, banyak yang telah dicantikkan semula oleh mereka yang tahu menghargainya. Janji ada minat. Kalau kena gaya, maka lahirlah sebuah wagon yang serba sempurna seperti Corolla wagon milik Yak ini.
Keseronokan bermain Toyota adalah lambakan kit badan yang boleh digunakan. Lagi-lagi model Corolla, yang memang memiliki pelbagai pilihan menarik untuk ditukar ganti. Bagi kereta ini, Yak berjaya mendapatkan bumper dan grill depan Lucky Star, yang diadun bersama komponen Corolla wagon USDM. Rangkaian aksesori lain pun banyak jugak, macam hood gentian karbon Doobie, cermin sisi Ganador, lampu belakang albino USDM serta unit sunroof OEM Corolla wagon untuk merenung bulan.
Tersemat di ruang roda adalah rim Weds Sport TC005 dengan padanan tayar Yokohama Advan A050 bersaiz 195/55R-15. Memastikan sektor pengendalian lebih sempurna, keseluruhan sistem gantungan kini digantikan dengan set suspensi boleh laras Tein Flex, termasuk penempatan bar anti roll TRD serta set bar Cusco dan Carbing di sana-sini. Sementara kuasa hentian, datang dari kit brek 6-pot mini VTTR di bahagian depan.
Selain luaran, bahagian enjin juga antara yang banyak diberi perhatian. Bukan saja bersih dan kemas, malah enjin 4A-GE Blacktop yang digunakan ini, turut dinaik taraf menerusi padanan komponen yang bersesuaian. Antaranya penggunaan piston Toda 81mm, conrod Brian Crower, serta galas enjin King Bearing. Kepala silinder kemudian menerima proses port & polish dari Nasty Port Flow, sebelum dilengkapkan dengan set camshaft 272° Toda, spring injap Toda, serta cam pulley Toda dan HKS.
Untungnya, enjin ini sudah dilengkapi dengan sistem pendikit 4-throttle yang bijak, sebelum dicekapkan dengan set trumpet velocity Tom’s. Bagi membentuk campuran bahan bakar yang diperlukan, bekalan bahan api dibantu pam petrol Walbro, termasuk tambahan unit regulator Sard. Sementara kuasa nyalaan datang dari kabel pencucuh NGK R09, sebelum dihubungkan kepada unit piggback GReddy e-Manage Ultimate untuk penghasilan kuasa yang optimum.
Memandangkan kereta ini tak layak dibuat Grab, bahagian dalamnya telah diserikan dengan salinan JDM yang sebenar. Hampir kesemuanya menggunakan komponen milik AE101 GT Wagon, dengan kemasan tempat duduk berwarna biru. Senarai aksesori lain meliputi penggunaan stereng Nardi Torino, meter utama Tom’s, tombol gear TRD, tuas gear C’s, pedal aloi Razo, serta unit paparan Defi ZD untuk tujuan pemantauan…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Yak
- Pengeluar – Toyota
- Model – Corolla AE101 Wagon
- Tahun – 1995
- Enjin asal – 4A-FE
- Modifikasi Enjin – 4A-GE Blacktop, piston Toda 81mm, conrod Brian Crower, galas enjin King Bearing, port & polish Nasty Port Flow, camshaft 272° Toda, spring injap Toda, cam pulley Toda & HKS, trumpet velocity Tom’s, pam petrol Walbro, regulator Sard, kabel pencucuh NGK R09, GReddy e-Manage Ultimate, tangki perangkap minyak Carbing, penutup minyak, radiator & palam pencucuh Tom’s, penyejuk minyak GReddy, radiator aloi Fwin
- Transmisi – Kotak gear manual 6-kelajuan, LSD Kaaz, klac TRD, flywheel Toda
- Ekzos – Ekstraktor TRD, muffler Kakimoto Regu 06&R
- Luaran – Kit badan Corolla wagon USDM, bumper & grill depan Lucky Star, hood gentian karbon Doobie, cermin sisi Ganador, lampu belakang albino USDM, sunroof OEM Corolla wagon
- Suspensi – Tein Flex
- Brek – Kit brek 6-pot mini VTTR (depan)
- Rim & Weds Sport TC005 15-inci & Yokohama Advan A050 195/55R-15
- Dalaman – Salinan komponen AE101 GT Wagon, stereng Nardi Torino, meter utama Tom’s, tombol gear TRD, tuas gear C’s, pedal aloi Razo, Defi ZD
- Bengkel – Onestop Garage Puncak Jalil, Ban Tunercraft, AGS Kodai Cat, Apap Polish