Perihal Civic EK9 Type R sebagai pedoman kepada pemilik platform EJ dan EK, sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Tak kisah duduk ceruk sekali pun, ia terus menjadi tunjang kepada corak modifikasi yang bakal dilakukan kepada jentera masing-masing.
Bila dah banyak tampil dengan gaya yang sama, timbul rasa bosan untuk lari dari tema kebanyakan. Ketika inilah komponen dari tuner ternama, menjadi sumber inspirasi baru. Banyak model konsep yang pernah diperkenalkan, namun apa yang dihasilkan oleh Spoon dan Mugen, kekal sebagai teraju utama untuk tujuan ini.
Sebagai kereta hujung minggu yang jarang dilenjan, Amad dengan senang hati telah mengenakan kit badan bangsawan kepada si Lailer ini. Yang duit berkepuk-kepuk pun belum tentu boleh pakai memandangkan jumlahnya yang agak terhad. Dikenali sebagai kit badan Mugen Aero 96, ia direka untuk menzahirkan rupa lebih garang dan tersendiri, khususnya kepada mereka yang inginkan kelainan.
Kit ini meliputi bahagian utama seperti bumper depan dan belakang, skirt sisi, serta unit spoiler yang lebih terjulur. Ia turut memiliki sepasang cermin sisi dari Ganador. Paling mengujakan kehadiran rim ikonik Mugen M7, yang mungkin nampak tua berbanding selera semasa. Tak kisah macamana rupa sekalipun, janji ori Mugen…
Rim berkenaan disalut pada tayar Yokohama Advan Neova bersaiz 195/55R-15. Di sebaliknya tersemat kit brek milik NSX di bahagian depan, serta brek standard Civic EK9 di ruang belakang. Sistem gantungan pula menerima set suspensi boleh laras dari Tein, yang banyak membantu meningkatkan karektor pengendalian secara keseluruhan.
Sesuai dengan trend semasa, salinan enjin tidak menggunakan nadi B Series, sebaliknya disumbat dengan enjin K20A dari Integra DC5 Type R. Ia bagaimanapun tidak disertakan dengan tingkat taraf yang setimpal, memandangkan tempoh pantangnya masih belum tamat.
Sebagai permulaan, hanya sedikit sentuhan dikenakan pada ruang pembakaran seperti penggunaan penapis udara K&N, ram udara kustom, throttle body Super90, serta manifold kemasukan Civic FD2 Type R. Bekalan petrol kemudian dibawa ke rel bahan api Golden Eagle Pro Series, sambil dikawal oleh unit regulator Sard. Bagi membetulkan semula data talaan, unit ECU telah dihubungkan kepada sebuah piggyback dari ECU-Shop.
Kuasa enjin ini dialirkan ke roda depan menerusi kotak gear manual Civic FD2 Type R, dengan gear pacuan 5.0 serta set klac keluaran Competition Clutch. Tidak ketinggalan rombakan semula pada sistem ekzosnya, menggunakan paip rekaan kustom serta sebuah muffler perang dari K-Tuned.
Jeling-jeling ke bahagian dalam mendapati, hampir sebahagian besar komponen yang digunakan merupakan aksesori dari katalog Mugen. Ada tempat duduk Mugen S1R di bahagian pemandu, tombol gear Mugen, serta stereng Mugen FG360 dengan hub stereng Mugen. Lain-lain komponen seperti karpet, panel pintu manual dan tempat duduk Recaro SR3, diambil sepenuhnya dari Civic EK9.
SPESIFIKASI
- Pemilik – Amad Husin Mokhtar
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EJ6
- Tahun – 1996
- Enjin asal – 1.6 SOHC
- Modifikasi Enjin – K20A Integra DC5 Type R, cagak enjin Hasport, penapis udara K&N, ram udara kustom, throttle body Super90, manifold kemasukan Civic FD2 Type R, rel bahan api Golden Eagle Pro Series, regulator Sard, piggyback ECU-Shop, radiator aloi Forged Racing
- Transmisi – Kotak gear manual Civic FD2 Type R, gear pacuan 5.0, set klac Competition Clutch
- Ekzos – Paip ekzos kustom, muffler K-Tuned
- Luaran – Kit badan Mugen Aero 96, cermin sisi Ganador
- Suspensi – Tein
- Brek – NSX (depan), Civic EK9 (belakang)
- Rim & Tayar – Mugen M7 15-inci & Yokohama Advan Neova 195/55R-15
- Dalaman – Tempat duduk pemandu Mugen S1R, tombol gear Mugen, stereng Mugen FG360, hub stereng Mugen, harness Simpson, karpet, panel pintu manual & tempat duduk Recaro SR3 Civic EK9
- Bengkel – Izal Autowork