Kebanyakan berita dan perkembangan tentang kereta konsep eVTOL datang dari negara-negara Eropah dan juga Amerika Syarikat. Sedikit masa dahulu, idea tentang kereta terbang pernah menjadi isu paling popular dan hangat diperkatakan di Malaysia. Namun, siapa menyangka India dalam diam-diam mengusahakan kereta terbang dan barangkali menjadi negara Asia pertama dengan eVTOL? Bukan sebarangan kereta terbang tetapi kereta terbang mewah!
Lebih menarik lagi, projek ini berjaya menarik perhatian pihak kerajaan secara rasminya. Baru-baru ini, konsep kereta terbang dari Vinata Aeromobility telah dipersembahkan di hadapan Menteri Penerbangan Awam India, Jyotiraditya Scindia. Asian News International (ANI) melaporkan bahawa menteri tersebut berbangga apabila diperkenalkan dengan konsep itu yang bakal menjadi kereta hybrid terbang pertama Asia.
Walaupun masih belum diberi sebarang nama, projek ulung Vinata yang dikatakan sebagai kereta terbang ini merupakan sebuah kereta hybrid dan autonomous. Berukuran 5,548 mm (panjang), 5,477 mm (lebar) dan 2,240 mm (tinggi), kenderaan VTOL (vertical takeoff and landing) ini mempunyai ruang untuk dua penumpang dan mampu menampung berat maksima 1,300 kg (2,866 lbs). Ia juga mampu mencapai sehingga 3,000 kaki di langit dan dilengkapi dengan gear pendaratan quadricycle.
Bagi sudut prestasi pula, kereta terbang ini menjanjikan kelajuan maksima pada 120 kph (74.5 mph) dan jarak 100-km dengan penerbangan selama 60 minit. Direka dengan co-axial quad-rotor, kereta terbang ini dikuasakan oleh lapan motor BLDC dan lapan anggul bebaling menjadikan ia sebuah kenderaan yang selamat – sekiranya salah satu gagal, masih boleh diharapkan pada yang lain-lain.
Apa yang menarik tentang VTOL hybrid Vinata ini adalah kanopi tingkapnya yang panoramik yang menawarkan pemandangan cukup indah dan seperti dikatakan syarikat ini sebagai interior mewah dengan ciri-ciri teknologi tinggi. Manakala sistem hiburannya pula dilengkapi dengan navigasi GPS, bantuan pendaratan yang lembut.
Sumber : Autoevolution