Baru-baru ini, Hyundai telah mendedahkan beberapa keping gambar IONIQ 5 terbaharu yang bakal dilancarkan pada bulan hadapan dan menjadi model elektrik pertama berdasarkan senibina E-GMP baharu. Sepertimana yang dapat dilihat, IONIQ 5 direka dengan rekaan yang tidak pernah ada dalam keluaran mana-mana kereta Hyundai sebelum ini.
Namun begitu, masih banyak informasi yang tidak dinyatakan. Menurut Hyundai, IONIQ 5 menjadi model pertama yang menampilkan hud clamshell merangkumi keseluruhan lebar model, mengurangkan jurang panel dan mewujudkan penampilan berteknologi tinggi dan lebih kemas serta bersih. Selain itu, ia dilengkapi dengan cermin sisi digital dan penutup gril penuh, lapisan badan yang berbeza, lampu belakang yang lebih langsing dan roda yang optimum secara aerodinamik berukuran 20 inci.
Walaupun Hyundai masih lagi tidak mendedahkan informasi tentang IONIC 5 tetapi beberapa video pendedahan model ini telah pun disiarkan. Sebanyak tiga video klip memaparkan teknologi Vehicle to Load yang membolehkan IONIQ 5 berfungsi dengan bekalan kuasa 110/220V. Bekalan kuasa yang sama boleh memberikan kuasa kepada apa-apa sahaja dari oven sehingga treadmill.
Dalam video keempat pula memaparkan kemampuan IONIQ 5 mengecas dalam masa yang sangat pantas. Lima minit pengecasan, model ini mampu dipandu sejauh 100 km dalam kitaran WLTP. Buat masa ini, tiada apa-apa maklumat tentang kapasiti bateri tetapi dilaporkan model ini akan mendapat WLTP sekurang-kurangnya 450km. Atap solarnya pula dilaporkan akan membantu pengecasan bateri ketika ia dalam mode parking.
Sumber : Carscoops