Sukar dinafikan dan pasti ramai mengakui bahawa Satria merupakan salah satu kereta ikonik dan pernah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia satu ketika dahulu. Malah, tidak melampau kalau dikatakan yang kepopularitian Satria ini terus menjulang nama Proton di industri automotif negara. Tidak hairan sekiranya bilangan peminat dan pengikut Satria tetap ramai walaupun di tengah-tengah kegilaan terhadap kereta Myvi!
Bukan satu omongan kosong dan ia dapat dilihat dengan penganjuran hari khusus yang menghimpunkan para pemilik dan peminat Satria di seluruh Malaysia. Dianjurkan buat kali yang ke-5, Satria Day 5.0 ini merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan para peminat kereta sekali gus menghidupkan semangat dan warisan Proton Satria ini.
Diadakan pada 7 dan 8 Jun lalu, Satria Day 5.0 ini dianjurkan oleh Jai Kawa dan Megat Klang dengan lokasi pilihan kali ini di Terengganu International Drag Strip. Ditaja oleh Mr Absorber dan Rocky Ottomobil, penganjuran buat kali kelima ini telah disertai hampir 3000 orang peserta. Bermula dengan Satria Fundrag yang diadakan pada hari pertama dan berlarutan sehingga pukul 1.00 pagi.
Acara bertambah meriah pada hari kedua dengan program Mega Gatheringg dan Autoshow yang melibatkan penyertaan para peserta yang datang dari seluruh negeri. Ini diikuti dengan segmen Cabutan Bertuah serta persembahan artis jemputan yang benar-benar menghangatkan lagi tapak acara. Namun, tumpuan utama sudah semestinya kepada Autoshow yang menyediakan 13 kategori dengan lebih 70 penyertaan.
Antara kategori yang disediakan termasuk Best Neo, Best Convert, Best JDM, Best MDM, Best Colour, Best Interior, Best Fitmen, Best GTi, Best R3, Best Engine, Best Ekzos, Best Clean, Best Race Look dan banyak lagi. Acara dimeriahkan lagi dengan sesi karaoke untuk para peserta. Malah, turut disediakan gerai-gerai jualan dan acara berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Autoshow dan Cabutan Bertuah.