Mydin Bukit Mertajam menjadi tumpuan para pencinta permotoran khususnya para peminat kenderaan-kenderaan lama termasuk kereta dan juga motor retro. Diadakan pada 4 November lalu, Oldskool Mega Gathering Party 2023 atau OMG 2023 ini dianjurkan oleh Olskool.my.
Tujuan utama penganjuran OMG kali ke-12 ini adalah untuk mengeratkah ukhuwah dalam kalangan pemilik kereta-kereta lama seluruh Malaysia. Selain itu, menyediakan peluang dan juga ruang untuk para peniaga menjual barangan kereta termasuk Hot Wheels dan banyak lagi.
Menariknya, program ini telah menerima penajaan dari barisan penaja yang bukan calang-calang untuk memastikan OMG 2023 ini berjalan lancar. Barisan penaja terdiri daripada Rolla Resources, Retrofast Garage, JTX 1000 Army, Afash Global, Sahabat Permotoran Pulau Pinang, Afara Racing, Adam Tyres, 43 Garage dan Beig Barbershop.
Seawal pukul 8.00 pagi, para pengunjung dan para peserta telah mula memenuhi tapak acara dan OMG 2023 ini berlangsung sehingga pukul 9.00 malam. Dianggarkan sebanyak 400 buah kereta telah menyertai penganjuran OMG kali ini diikuti 50 buah motor retro iaitu 25 motor scrambler dan 25 lagi motor Panther.
Manakala kategori yang telah dipertandingkan pula ialah 10 Kereta Terbaik Pilihan Juri Tempatan dan menawarkan hadiah-hadiah menarik. Antaranya Seat Recaro untuk pemenang pertama, Rim Atara Racing untuk tempat kedua, basikal BMX untuk pemenang tempat ketiga dan minyak hitam JTX untuk pemenang tempat keempat!
Dianggarkan seramai 3000 orang pengunjung telah menghangatkan lagi penganjuran OMG 2023 ini. Lebih istimewa lagi, pihak penganjur juga turut menjemput tetamu istimewa bagi memeriahkan lagi program ini iaitu Om Agung dari FakeWagon dan juga Kuala Belait Retro Car yang datang dari Brunei.