Himpunan Permotoran Perak 2025 telah berlangsung dengan meriah pada 22 Jun 2025 bertempat di Teluk Batik, Lumut, Perak. Acara ini bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir sekitar 6 petang. Ia merupakan sebahagian daripada siri Himpunan Permotoran Utara yang dianjurkan oleh Budak Kereta Geng Kita (BKGK), sebuah komuniti aktif dalam dunia permotoran yang diketuai oleh saudara Nik Tajul.
BKGK dikenali sebagai penganjur yang konsisten menganjurkan acara-acara permotoran di seluruh Semenanjung Malaysia. Malah, hampir setiap bulan mereka menganjurkan program melibatkan komuniti automotif dari pelbagai negeri. Acara di Teluk Batik kali ini menarik kehadiran pelbagai kelab kereta dan komuniti tempatan yang mula memenuhi tapak seawal pagi.
Antara pengisian utama ialah pertandingan autoshow melibatkan kereta dan lori, pertandingan limbo, serta cabutan bertuah. Acara ini turut diserikan dengan penyertaan dari pelbagai kelab kereta dan komuniti permotoran yang memberikan sokongan padu kepada penganjur. Beberapa khemah jualan turut dibuka dan menarik kunjungan ramai.
Untuk penggemar dua roda, pertandingan motorshow turut dianjurkan dengan penyertaan sebanyak 100 buah motosikal. Acara ini memberi peluang kepada pemilik jentera untuk menampilkan hasil modifikasi dan kreativiti masing-masing. Selain itu, pertandingan Spitfire juga diadakan, melibatkan motosikal dengan sistem ekzos khas.
Majlis perasmian serta penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Syed Alif Rikiman bin Syed Alwi, Pegawai Khas kepada YB Puan Norhaslinda binti Zakaria, ADUN Pangkor, yang hadir mewakili beliau dalam memberikan sokongan kepada penganjuran program ini.
Secara keseluruhan, acara ini berjaya menarik kehadiran lebih kurang 1,000 peserta, dengan penyertaan 6 buah lori untuk segmen autoshow. Majlis ditutup dengan penyampaian hadiah kepada semua pemenang pertandingan serta cabutan bertuah yang dinanti-nantikan oleh para peserta. Himpunan ini berakhir tepat jam 6 petang dengan harapan agar lebih banyak acara seumpamanya dapat dianjurkan pada masa akan datang.