Bertempat di Kolam MADA, Pendang telah berlangsung dengan jayanya program Himpunan Permotoran Utara 2025 pada 18 Mei 2025. Dimulakan seawal jam 8.00 pagi dan berakhir sekitar jam 8.00 malam. Program ini dianjurkan oleh Budak Kereta Geng Kita (BKGK) dengan kerjasama Wira X Rilex, di bawah kepimpinan saudara Nik Tajul yang sememangnya aktif dalam menganjurkan acara permotoran di seluruh Semenanjung Malaysia.
Program kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, khususnya daripada komuniti permotoran di kawasan utara. Seawal pagi, pelbagai kelab dan komuniti kereta mula memenuhi tapak acara dengan semangat dan keterujaan. Antara aktiviti yang disusun termasuk pertandingan autoshow kereta dan lori, pertandingan limbo, pertandingan lukisan untuk kanak-kanak, khemah jualan serta cabutan bertuah yang menjadi tarikan pengunjung.
Meskipun hujan turun pada sebelah petang, ia sama sekali tidak mematahkan semangat peserta dan pengunjung yang hadir. Pertandingan autoshow tetap berlangsung dengan meriah dan menjadi acara tumpuan utama. Bagi kategori Wira Fighter sahaja, sebanyak 40 kategori telah dipertandingkan, manakala kategori Open turut tidak ketinggalan untuk dipertandingkan.
Himpunan ini turut menyaksikan penyertaan hampir 900 peserta dari pelbagai kelab dan komuniti kereta. Selain itu, sebanyak 10 buah lori juga turut mengambil bahagian dalam pertandingan autoshow, menjadikan program ini antara yang paling mendapat perhatian di kawasan utara tahun ini.
Program diteruskan hingga ke petang dengan pelbagai aktiviti dan penyertaan aktif daripada peserta dan pengunjung. Semangat kebersamaan dan minat mendalam terhadap dunia permotoran jelas terpancar sepanjang acara berlangsung, membuktikan bahawa himpunan sebegini masih relevan dan diminati ramai.
Majlis penutup menyaksikan penyampaian hadiah kepada semua pemenang pertandingan serta cabutan bertuah kepada para peserta bertuah. Dengan kejayaan penganjuran kali ini, tidak mustahil Himpunan Permotoran Utara akan terus menjadi program tahunan yang dinanti-nantikan oleh peminat dunia permotoran.