FIAT BRAVO EVO III
Ini bukanlah kereta yang anda boleh jumpa setiap hari. Tak ramai orang yang cukup gila nak tukarkan mesin Itali menjadi sebuah kereta yang laju, melainkan ia sebuah Ferrari, Lamborghini atau Maserati.
Masalahnya sekarang, saya cerita pasal Fiat. Pomen sebelah rumah ada satu tagline untuk kereta ni. F.I.A.T – Fiat Is Always Trouble.
Kereta ini memang tidak mesra pengguna langsung. Sekali rosak, koyak rabak poket. Nasib baik sekarang, barang-barang bodypart half cutnya tidaklah susah sangat nak dapat. Tetapi yang masih jadi halangan terbesar ialah barang-barang enjinnya. Kalau kompresor aircond rosak tengah bulan, ada baiknya beli kipas berdiri siap dengan modifikasi sumber elektrik 12 volt.
Nama pemilik Bravo EX1.8 ialah Kenny. Terkejut beruk juga sekali dia bukak enjin nampak rocker cover Evo 3. Seperti yang telah dijangka, alasan masuk enjin ini sebab dah tak tahan dengan maintenance enjin kereta yang sangat merepek. Projek kereta ini dibuat di sebuah bengkel di Ampang dan saya baru tahu ia tidaklah susah mana. Menurut Kenny, pengubahsuaian mounting adalah minimum.
Kerja kemasukan enjin turut dibuat sekali dengan bahagian papan pemuka. Apabila tengok di bahagian kokpit, saya akui memang cun dan kemas sekali sampai saya lupa ini kereta Fiat.
Kalau tengok pada curve depan dan sisi, memang papan pemuka ini tak ada masalah besar untuk dipasang pada pada Bravo. Biasanya kalau masuk papan pemuka lain, masalah tidak hanya pada posisi tapi juga facing dashboard yang kadang-kadang ‘ternaik’ atau ‘terturun’ yang membuatkan pemanduan jadi tak selesa.
Namun, itu tidak berlaku pada kereta ini. Semuanya padan dengan kemas termasuklah stereng Nardi Torino yang sedap digenggam dan konsol gear yang tidak kekok bila masuk gear. Memandangkan kereta ini dah jadi sporty, Kenny memasang sepasang tempat duduk Subaru yang selesa.
Enjin tak banyak diusik melainkan peralatan bolt-on seperti penapis udara HKS, blow-off HKS SSQV, radiator ARC dan sebuah ECU Mines. Kereta begini tak perlu ubahsuai melampau kerana kejuruteraan yang penting ialah memastikannya selamat dan kuasa enjin boleh disalur ke permukaan jalan dengan sempurna. Kalau tak, buang duit saja beli half-cut enjin power tapi handling serupa ketam.
Kotak gear datangnya daripada Evo III yang dikunci fungsi pacuan empat rodanya. Enjin dipacu oleh drive shaft, sistem rak stering, crossmember dan tie rod asal Evo. Apabila semuanya sepadan, suspensi juga disalin daripada Evo III. Breknya juga disalin terus dari Evo III depan belakang yang secara automatik menukar PCD pelik Fiat kepada PCD 114.3mm Jepun!
Dengan lubang yang universal, pemilihan rim jadi lebih banyak. Kenny memilih untuk tidak malu-malu kelihatan seperti kereta Jepun dengan menggunakan rim Advan RG 16 inci. Tayar pula ialah Falken bersaiz 205/45/16.
Kosmetik kereta tidak diubah secara drastik. Bravo standard pun dah nampak sporty, tetapi memadankan bampar depan jenis custom untuk memuatkan intercooler, skirting tepi ditempah custom dan sedikit apron belakang untuk melabuhkan kereta. Spoiler pada bumbung itu Honda Jazz punya.
Siap! Persoalannya, berapa reliable kah kereta ni? Kereta ini sudah diubahsuai lebih tiga tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada masalah kritikal yang dihadapi.
SPESIFIKASI
- Model: Fiat Bravo 1.8 EX
- Enjin: 4G63 Evo III, HKS SSQV, HKS filter, radiator ARC, ECU Mines
- Transmisi: Manual 5 kelajuan
- Suspensi: Depan Evo III, belakang Bravo 1.8
- Brek: Evo III depan (2 pot) belakang dengan PCD 114.3
- Rim: Advan Racing 16 inci
- Tayar: Falken 205/45/16
- Dalaman: Papan pemuka Evo III dengan pendingin hawa digital, stereng Nardi Torino, seat Subaru Impreza, boost controller Greddy Profec
- Luaran: Standard Bravo dengan kemasan grafik tone pada tailgate dan side mirror
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ