Estrada Motorsport By Pulzar Malaysia merupakan salah satu pasukan yang mengambil bahagian dalam siri perlumbaan Malaysia Speed Festival 2019. Bersaing dalam 4 kategori berbeza, ia diwakili barisan pelumba berbakat yang akan menggalas cabaran dalam perlumbaan trek paling kompetitif di negara ini.
Di awal kemunculan, Estrada Motorsport yang dikendalikan oleh Aliff Azreel hanya diwakili pasangan suami isteri Azwan Zulkifle & Sharina Ramlle. Dengan sumber yang terhad, mereka mempertaruhkan sebuah Toyota Starlet Turbo untuk bersaing dalam kategori Street Tuned. Secara berdikit, pasukan kecil ini mula menunjukkan kemampuannya walaupun pernah berdepan pelbagai rintangan dan cabaran.
Keupayaan mereka dihidu Pulzar Malaysia yang ketika itu sedang mencari pasukan berpotensi, untuk membawa jenama ini ke persada sukan permotoran. Keunikan Estrada Motorsport sebagai pasukan berorientasi keluarga, telah menarik minat Pulzar Malaysia untuk sama-sama membantu sekaligus membentuk pasukan yang lebih mantap.
Dari sebuah kereta dengan dua pelumba, Estrada Motorsport By Pulzar Malaysia kini dianggotai oleh 4 orang pelumba berpengalaman dengan 4 buah jentera yang berbeza. Mereka juga dibantu tenaga pengajar dan pelatih wanita dari Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL), yang akan bertindak selaku kru sokongan. Selain itu, Estrada Motorsport By Pulzar Malaysia turut bekerjasama dengan rakan teknikal lain seperti Wuerth Malaysia, Bandi Sprayworks, Fawster Motorsport, Tie Jie Garage, EZ Group dan Speed Legacy.
Penyertaan Pulzar Malaysia dalam sukan permotoran, boleh membantu mereka dalam proses penyelidikan dan pembangunan produk secara lebih berkesan. Ia juga mampu membentuk imej dan kesedaran jenama, sekaligus meningkatkan keyakinan pengguna di negara ini.