Kepantasan dan gaya, itu yang dijanjikan Audi menerusi edisi eksklusif RS7 2022 dan hanya dikeluarkan sebanyak 23 unit. Dijangkakan harganya bermula dari $166,495 (bersamaan RM736,897.85 setakat hari ini) dan bakal tiba di bilik-bilik pameran tidak lama lagi. Jika dibandingkan dengan RS biasa, harganya bermula dari $119,595 (bersamaan RM529,312.26).
Audi RS7 edisi eksklusif ini dapat dilihat menerusi kesan cat mutiara Mamba Black walaupun ia tidak nampak dengan jelas dari gambar-gambar yang disediakan, bayang-bayangnya pula berwarna kebiruan. Model ini juga didatangkan bersama pakej Carbon Optic yang menggunakan fiber karbon untuk spoiler hadapan, penutup cermin dan juga diffuser belakang. Manakala pakej Black Optic pula lebih gelap di bahagian logo cincin Audi.
Edisi eksklusif ini dilengkapi dengan rim 22-inci, rekaan ‘V’ dan kemasan antrasit bersama tayar bersaiz 285/30. Disk brek seramik dengan kaliper biru antara kelengkapan lain yang didatangkan bersama model ini. Saiz ukuran rotor pula 17.3 inci di bahagian hadapan dan 14.6 inci di bahagian belakang.
Beralih ke bahagian interior edisi istimewa yang menampilkan kulit hitam dengan jahitan Sepang Blue. Pakej kulit eksklusif Audi diluaskan lagi dengan penambahan material di tempat rehat tangan di bahagian pintu, panel pintu atas, trim konsol tengah dan bahagian atas dashboard. Karpet lantari kereta pula mempunyai kulit di hujungnya. Garis kepala pula berwarna hitam Dinamica.
Edisi eksklusif ini tetap dilengkapi dengan enjin V8 4.0 liter twin-turbocharged yang menghasilkan 591 hp (441 kW) dan tork 590 lb-ft (800Nm). Dikatakan, ia mampu mencecah 96 km/j dalam 3.5 saat dan mempunyai kelajuan terhad 190 mph (306 kph).
Jika tidak mampu untuk memiliki edisi eksklusif RS7 yang semestinya jarang ini, anda masih boleh mengubah gaya sport sedan dengan pakej RS Design, yang merupakan model baharu untuk tahun 2022. Pakej ini menawarkan karpet lantai jenama RS, konsol tengah upholstery Alcantara dan tali pinggang keledar yang ditawarkan dalam dua warna iaitu merah dan kelabu. Tidak lupa juga, rim 22-inci dengan kemasan karbon, hitam dan titanium.
Sumber : Motor1