Baru-baru ini, Subaru telah menyiarkan imej-imej Boost Gear Concepts untuk Crosstrek dan juga Rex yang bakal dipamerkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Show 2023. Kedua-dua model ini menumpukan terhadap modifikasi jalan lasak diikuti aksesori-aksesori yang dipertingkatkan agar kelihatan lebih agresif serta sesuai untuk kegunaan off-road.
Subaru Crosstrek Boost Gear Concept dilengkapi dengan beberapa gear ekstra, kelihatan seperti versi generasi Crosstrek baharu dengan steroid. Salah satu yang paling menonjol tentulah tayar Yokohama Geolander yang memberikan cengkaman kemas khususnya dalam keadaan jalan berlumpur digabungkan pula dengan AWD. Bukan itu sahaja, ia juga tampil lebih tinggi berbanding model stok biasa.
Modifikasi gaya termasuk beberapa bahagian yang diumumkan baru-baru ini menerusi katalog aksesori rasmi seperti pelekat hitam di bahagian hood, penambahan grille di bahagian atas dan juga LED ekstra yang dipasangkan bersebelahan dengan foglight. Boost Gear Concept ini juga menambah aksen gaya aluminium pada skidplate dan fender, perlindungan plastik ekstra di bahagian pintu, rak atap Rhino dengan bar LED dan macam-macam lagi.
Pereka Subaru memilih treatmen dua-ton dengan kemasan matt digabungkan dengan cahaya biru pada rim aloi, lencana kustom dan mudflap. Pengeluar masih belum berkongsi maklumat tentang spesifikasi teknikal untuk konsep ini samada dimuatkan dengan trenkuasa hybrid stok e-Boxer ataupun enjin yang berbeza.
Manakala untuk Subaru Rex Boost Gear Concept pula, ia mempunyai kemaskini lebih segak berbanding Crosstrek kerana ia sebuah SUV urban. Penambahan pada konsep ini dilihat lebih menarik berbanding pek aksesori sedia ada. Versi Subaru kepada Toyota Raize atau Daihatsu Rocky yang telah dikemaskini dengan set rim hitam bersama tayar Yokohama Geolander, mud-flap, skidplate gaya aluminum bersama kemasan matt untuk bahagian badannya serta bumbung hitam diikuti beberapa aksen biru terang.
Subaru Rex ini ditawarkan eksklusif bersama enjin NA 1.2 liter yang menghasilkan 80 hp (60 kW / 82 PS) yang dihantar ke tayar hadapan menerusi kotak gear CVT dengan 7-kelajuan. Diharapkan konsep ini dilengkapi 1.0 liter turbocharged lebih berkuasa dengan sistem 4WD seperti yang hampir menyerupai Toyota Raize. Selebihnya, bakal diketahui apabila Boost Gear Concepts ini dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2023.
Sumber : Carscoops