Pernah berkaler hitam, kemudian merah pinky-pinky. Sementara nak tunggu siap, bertahun jugalah pakai baju capuk-capuk. Namun sejak beberapa purnama lalu ia telah dicantikkan semula, dengan kaler spesel yang memeningkan. Biru tak biru, hijau tak hijau. Siap ada stiker ikan sepat lagi.
Memperkenalkan edisi terbaru Black Dahlia, sebuah Nissan Silvia S13 milik sobat kita Wan Mohammad Lijet. Bagi yang sudah lama berkecimpung dalam dunia permotoran, anda pasti mengenali remaja bangka dan kereta ini, yang sering beraksi dalam sukan trek. Malah ia juga pernah digunakan, dalam pembikinan filem dan drama tempatan. Patut pernah nampak…
Kelainan Black Dahlia terletak pada kit badan yang digunakan. Ia sebenarnya telah dikembangkan, dengan kit aero Rocket Bunny V1 dari Tra-Kyoto. Asalnya memang lengkap, meliputi keseluruhan bumper, fender, skirt dan spoiler. Ia bagaimanapun telah diolah semula dengan kit fender Rocket Bunny, meninggalkan bumper depan dan skirt sisi dari kit berkenaan. Tambahan lain melibatkan penggunaan hood FRP DMax D1 Spec, diffuser belakang kustom, spoiler GT kustom yang apak besar, serta stiker badan rekaan Zaf Design, khusus untuk penggambaran terbarunya.
Seawal milikan, Black Dahlia telah menerima enjin SR20DET dari Silvia S14. Selari dengan tugasnya sebagai kereta aksi, beberapa pengubahsuaian telah dilakukan ke atas enjin baru ini. Ada piston forged CP 87mm, conrod Eagle, galas enjin ACL Race, set stud ARP, serta gasket keluli Flatwell. Di bahagian kepala silinder pula mengandungi plet rocker arm GReddy, stem injap Supertech, juga sepasang camshaft dan cam pulley HKS.
Janaan kuasa datang dari unit turbo TD06 20G, yang disangkut pada manifold turbo kustom bersama wastegate Turbosmart 50mm. Tekanan boost itu kemudian disejukkan, oleh intercooler GReddy. Jumlah boost diselia pengawal boost Torq, manakala tekanan berlebihan akan dibawa keluar menerusi injap pelepas GReddy Type S.
Bekalan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro. Ia dihubungkan ke tangki surge kustom yang mengandungi sebuah lagi pam petrol Walbro sebagai pendesak. Suntikan ke kebuk pembakaran diserahkan kepada set injektor Denso 850cc, manakala proses kawalan tekanan diselia oleh unit regulator Sard. Membolehkan keupayaan enjin ini kekal di tahap optimum, keseluruhan parameternya kini ditala menggunakan Haltech Sprint 500.
Sedikit tambahan kuasa diperoleh, hasil rombakan semula sistem ekzos asal menggunakan paip kustom 3-inci dan muffler dari Trust. Memastikan hantaran kuasanya tidak sia-sia, bahagian kotak gear dilengkapi beberapa komponen penting seperti shaft utama, ratio gear dan set klac plet berkembar OS Giken, pam klac Nismo, hos braided Earls, final drive 4.3, serta unit LSD 1-way dari Kaaz.
Peningkatan seterusnya melibatkan keseluruhan sistem gantungan yang kini dimewahkan dengan komponen lebih tegar. Ada set suspensi Tein HE, kit tie rod Ikeya Formula, rod camber, toe, tension dan traction Cusco, Bush subframe Tonnka, serta bar penstabil dari Ultra Racing dan Cusco. Kuasa hentian menggunakan komponen brek Skyline R33 GTS-T. Keperluan bahagian roda pula menggunakan tayar dari Westlake, yang dibalut pada rim lebar Enkei RPF1 berukuran 18-inci. Bab tayar ni jangan caya sangat. Kena anginnya nak bantai derip dan donat, tak sempat solat maghrib boleh abis…
Bahagian dalam kereta kelihatan bersih dan terjaga, untuk kegunaan sehari-hari. Perubahan yang boleh dilihat hanya melibatkan penukaran tempat duduk pemandu kepada bucket Bride Zeta 2, harness Takata, stereng Nardi Driftworks, serta tombol gear Blitz. Rujukan pemantauan kemudian dibantu meter boost Apexi EL2, juga meter tekanan minyak Omori yang olskool.
Dimaklumkan, Wan Mohammad Lijet dan Black Dahlia baru saja selesai penggambaran sebuah filem yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Adakah gayanya sama keras macam Aron Ajis? Sama-sama kita tunggu…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Wan Mohammad Zariff (Lijet)
- Pengeluar – Nissan
- Model – Silvia S13
- Tahun – 1993
- Enjin asal – SR20DE
- Modifikasi Enjin – SR20DET, piston CP 87mm, conrod Eagle, galas enjin ACL Race, stud ARP, gasket keluli Flatwell, plet rocker arm GReddy, stem injap Supertech, camshaft & cam pulley HKS, cagak enjin & kotak gear Drifthouse, penapis udara Apexi, turbo TD06 20G, manifold turbo kustom, wastegate Turbosmart 50mm, intercooler GReddy, pengawal boost Torq, injap pelepas GReddy Type S, pam petrol Walbro, tangki surge kustom, injektor Denso 850cc, regulator Sard, Haltech Sprint 500, kit pulley GReddy, penyejuk minyak Trust, tangki perangkap minyak GReddy, radiator Yashio Factory, kipas radiator RB25DET
- Transmisi – Kotak gear manual, shaft utama, ratio gear & set klac plet berkembar OS Giken, pam klac Nismo, hos braided Earls, final drive 4.3, LSD 1-way Kaaz
- Ekzos – Paip kustom 3-inci, muffler Trust
- Luaran – Kit aero Rocket Bunny V1 Tra-Kyoto, kit fender Rocket Bunny Tra-Kyoto, hood FRP DMax D1 Spec, diffuser belakang kustom, spoiler GT kustom, lampu belakang DMax, pin hood Sparco, pin bonet OMP, stiker badan Zaf Design
- Suspensi – Tein HE
- Brek – Skyline R33 GTS-T, hos braided Earls, brake stopper Cusco
- Rim & Tayar – Enkei RPF1 18-inci & Westlake Sport RS 265/35ZR-18 (depan), 295/30ZR-18 (belakang)
- Dalaman – Bucket Bride Zeta 2, harness Takata, stereng Nardi Driftworks, tombol gear Blitz, meter boost Apexi EL2, meter tekanan minyak Omori, karpet Silvia S15
- Bengkel – Under Five Performance Garage, NH Auto, Best Kit Fiber Design, SPS Motor Workshop, Drifthouse, Works Engineering, Zaf Design