Sebaik tamat pengeluaran, peminat Kelisa tidak disajikan dengan sebarang model gantian yang setara. Kalau kat Jepun ada juga Trevis. Tapi untuk pasaran sebelah sini, ia telah digantikan dengan si kecik Viva, sebuah model dari keluarga yang berbeza.
Jumlah permintaan dan reputasi yang baik memberi kesan positif, apabila harganya di pasaran terpakai jauh lebih stabil berbanding kereta seusianya. Lama juga ia kekal begitu. Cuma kebelakangan ni saja trend tersebut mula merudum. Mungkin dah sampai masa, ditambah kemunculan model-model baru yang lebih berbaloi.
Bagi peminat modifikasi, resepi mencantikkan kereta nama ikan ini bukan lagi rahsia. Macam-macam kit badan boleh disalin dan dikacuk, mengikut minat dan citarasa masing-masing. Ada Gino, ada Cuore, ada Licca, yang menongkah arus bikin Trevis pun ada. Untuk kereta milik Faris ini, ia telah dipadankan dengan kit badan Cuore TR yang tentunya lebih garang dan sporty.
Salinan kit badan ini turut dicantikkan dengan gaya tersendiri. Kalau kebanyakan pemilik mementingkan pilihan kaler yang menjolok mata, Faris pula sibuk dengan komponen sentuhan gentian kevlar di sana-sini. Ikutkan jarang ada yang minat, memandangkan kesukaran untuk memadankannya dengan warna yang sesuai. Malah ia juga perlu ditempah khas, meliputi bahagian hood, skup, fender, skirt sisi, penutup tangki, termasuk spoiler dan tailgate di ruang belakang.
Memastikan kedudukan kereta ini terletak elok, sistem suspensi menggunakan kit boleh laras dari Mines. Di ruang roda tersemat rim WedsSport jenis TC105N yang dibalut pada tayar Maxxis Victra berukuran 165/50R-15. Sementara sistem hentian pula dipertingkat dengan brek cakera Honda yang diubahsuai.
Kelebihan Kelisa terletak pada nadi kuasa boleh yang digunakan. Tanpa banyak kerenah, ia mampu menjadi pelesit highway yang tidak diduga. Terai ler kalau tak caya. Keadaan yang sama turut berlaku kepada kereta ini apabila mempertaruhkan enjin K3-VET dari YRV Turbo R sebagai punca kuasanya.
Buat masa ini, tiada perubahan besar dilakukan Faris ke atas enjin ini. Dah cukup pawer katanya. Peningkatan hanya melibatkan penggunaan penapis udara dengan ram udara kustom, injap pelepas Sheepdog, termasuk tambahan unit regulator AVS. Sistem ekzos kemudian dibina secara kustom dan diakhiri sebuah muffler HKS Hi Power.
Seperti pemilik kei-kar lain, bahagian dalaman mesti dihidangkan dengan jajan yang lazat-lazat. Bermula dengan papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk Cuore TR, ia kemudian diserikan dengan rangkaian komponen terpilih seperti stereng dan meter utama YRV Turbo R, deretan meter Defi, serta sistem hiburan lengkap Pioneer Carrozzeria. Sesuai dengan tema yang dibawa, sebahagian papan pemuka turut mengenakan kit panel gentian kevlar.
Penangan Kelisa mungkin tak hebat macam generasi Perodua lain. Hanya mereka yang kental saja, sanggup kekal mempertahankan kehebatan model ini…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Faris Hamizan
- Pengeluar – Perodua
- Model – Kelisa
- Tahun – 2003
- Enjin Asal – EJ-DE 1000cc
- Modifikasi Enjin – K3-VET YRV Turbo R, penapis udara & ram udara kustom, injap pelepas Sheepdog, regulator AVS
- Transmisi – Tiptronic
- Ekzos – Paip ekzos kustom, muffler HKS Hi Power
- Luaran – Kit badan Cuore TR, hood, skup, fender, skirt sisi, penutup tangki, spoiler & tailgate gentian kevlar
- Suspensi – Mines
- Brek – Honda
- Rim & Tayar – WedsSport TC105N 15-inci & Maxxis Victra 165/50R-15
- Dalaman – Papan pemuka, panel pintu & tempat duduk Cuore TR, stereng & meter utama YRV Turbo R, meter Defi, panel papan pemuka gentian kevlar, sistem hiburan Pioneer Carrozzeria
- Bengkel – Paka Turbo Garage, MKI Garage