Setelah hampir tiga bulan mengharung keadaan pasaran yang amat sukar akibat pelaksanaan Perinah Kawalan Pergerakan (PKP), PROTON mensasarkan untuk menamatkan tahun 2021 dengan lebih positif. Ini berikutan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport kembali beroperasi yang dijangka dapat meningkatkan jualan bermula bulan September. Dari Jun hingga Ogos 2021, PROTON berjaya mencatat jualan sebanyak 5,354 unit yang meliputi gabungan pendaftaran dalam talian dan eksport.
Produksi terhad telah dijalankan di kilang Tanjung Malim selepas pegumuman Perak sebagai negeri Fasa 2 pada 5 Julai, namun ia tidak lama kerana berdepan pula dengan masalah kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.
Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, naik 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun 2020.
“Jualan kami sehingga Ogos mencerminkan prestasi tinggi PROTON dalam lima bulan pertama tahun ini. Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana PKP, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan.
“Namun, kami yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh 4 bulan terakhir tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.
Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, PROTON boleh memulakan kembali aktiviti eksportnya. Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada September. Di samping pek CKD untuk Proton Saga yang kini dijadual mula dipasang pada Oktober.
Salah satu kunci kepada keupayaan syarikat untuk membuka semula kilang adalah kejayaan pelan vaksinasi PIKAS. Data terkini menunjukkan lebih 93 peratus warga kerja PROTON telah divaksinasi sepenuhnya. Manakala lebih 75 peratus pekerja pembekal dan wakil jualan juga telah mendapat vaksin penuh.
Jadi, seluruh ekosistem PROTON hampir dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100% berdasarkan SOP semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.
“Selain pelanggan dalam negara, pasaran eksport PROTON juga mendapat manfaat daripada pembukaan semula aktiviti produksi. Masih terlalu awal untuk kami ketahui berapa cepat kami dapat memenuhi permintaan, tetapi kami akan cuba sebaik mungkin,” kata Roslan.
Sumber : Mekanika