Civic Type R generasi terbaharu ini pertama kali dilihat sekitar bulan Mei, pada tahun 2020. Namun, Honda tidak mengusik model mewah itu sehinggalah Oktober tahun lepas. Sejak itu, Honda telah menghidangkan pratonton dan bakal menyusul adalah maklumat serta spesifikasi rasmi seperti yang dinanti-nantikan.
Menurut pengarah Honda Australia, Stephen Collins, Honda Civic Type R 2023 ini akan ditampilkan buat julung kalinya pada bulan hadapan. Beliau berkata lagi, Honda Civic Type R 2023 ini akan dipamerkan sepenuhnya pada musim panas di Eropah pada bulan Jun.
Seterusnya, ia dijadualkan akan membuat penampilan sulungnya pada bulan Julai sewaktu berlangsungnya acara NTT Series di Stadium Sport Car di Central Ohio, Amerika Syarikat. Sebelum itu, prototaip Honda ini akan kekal disembunyikan sehingga tiba waktunya.
Civic Type R baharu ini dijangka menggunakan evolusi enjin pengecas turbo 2.0 liter. Model lama, FK8 menawarkan 316hp tetapi para peminat berharap agar pasukan jurutera Honda dapat memberikan kuasa kuda yang lebih dan juga stabil. Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan ia bakal dihidangkan secara hybrid dan ternyata ia sekadar khabar angin semata-mata. Jadi, para peminat tidak perlu panik kerana formula ICE akan dikekalkan!
Dalam masa yang sama, Honda turut mengesahkan bahawa Civic Type R akan ditawakan dalam varian hatchback secara eksklusif bersama kotak gear manual seperti sedan Si. Berkemungkinan besar, model generasi seterusnya mahu memastikan untuk mendapatkan semula rekod pusingan di Nurburgring untuk kereta FWD paling pantas yang kini gelaran itu dimiliki oleh Renault Megane RS Trophy-R dengan catatan masa 7 minit dan 40.1 pada April 2019.
Berbekalkan tiga pedal, enjin gas yang kuat, Civic Type R 2023 ini dikatakan bakal menjadi salah satu kereta berprestasi mampu milik terakhir yang menggunakan formula tradisional. Pada masa yang sama, ia kelihatan jauh lebih bertamadun daripada model-model terdahulu. Walau bagaimanapun, ia masih mengekalkan wing belakang yang lebar dan juga sistem tiga ekzos àla Ferrari 458 Italia.
Sumber : Motor1