Di Malaysia, apabila sesebuah keluarga sudah mempunyai lebih dua orang anak dan mahukan keselesaan untuk perjalanan jauh terutama ketika pulang bercuti sewaktu musim perayaan, MPV menjadi pilihan popular.
Ia menawarkan posisi pemanduan yang tinggi serta ruang kepala dan kaki luas. Jadi, memandu sebuah MPV selama lapan jam tidaklah terlalu penat jika dibandingkan dengan Proton Waja.
Di Jepun, MPV dan van sudah menjadi satu budaya. Berbeza dengan Eropah yang sukakan kenderaan wagon dan Amerika dengan SUV, nampaknya budaya Jepun menular dengan cepat di sini.
Saya masih ingat ketika Kia Carens dan Toyota Avanza mula memasuki pasaran tempatan, lakunya bukan main lagi. Sekarang, pengguna sudah ada banyak pilihan. Namun bagi pengikut setia JDM, Toyota Estima ialah bahan eksperimen yang tidak wajar diketepikan.
Estima TCR11 milik Azizi ini adalah contoh bagaimana Estima model pertama boleh jadi menarik kalau pandai diubah suai. Di Jepun, model ini masih lagi popular untuk dijadikan bahan modifikasi berbanding model Estima ACR30 dan Estima 50.
Mungkin disebabkan oleh bentuknya yang unik, banyak pengeluar membuat peralatan aftermarket seperti bodykit dan suspensi untuknya.
Apabila dipasang dengan bodykit Topline, rupa Estima keluaran 1991 ini berubah sekelip mata. Untuk mendapatkan kerendahan maksimum, Azizi memasang set suspensi udara Air Bomber dengan tong udaranya diletak di dalam bonet belakang. Jangan bimbang, ruang bagasi TCR lebih besar daripada model Estima ACR30. Sumpah, saya pun tak percaya pada mulanya.
Bila dah pasang bodykit, rim memang wajib kena tukar. Azizi memilih rim SSR Gartmeier oldskul 2 piece yang lebarnya saiz 8 inci depan dan 9 inci di belakang. Tayar ATR Sport 245/45r18 Roll fender sikit-sikit tu adatlah. Kata nak bagi nampak cantik? Berkorbanla sikit. Selesai naik taraf rim, brek ditukar kepada jenis dua pot daripada Toyota.
Bahagian dalaman MPV ini dipasang dengan tempat duduk model Supercharge. Kerangka dinding papan pemuka itu custom VIP Jepun yang diperoleh dari kedai potong. Akesori kecil yang boleh dilihat ialah side step belakang Lucida Emina, pemain radio Sony dan stereng Momo empat jejari.
Badan kereta dicat warna biru (cool blue) dengan kesan berkilat-kilat. Saya pun tidak pernah jumpa MPV warna macam ini. Sekali pandang, nampak pelik. Tapi bila pandang lama-lama, cantik pula.