Peminat prestasi khususnya keluarga Civic, pasti mendambakan kemasyhuran model EJ/EK ini dalam koleksi peribadi. Ia sebuah kereta yang tak makan dek usia, dan masih lagi relevan sehingga hari ini. Berbanding kereta kebanyakan, nilai semasanya juga susah untuk kita fahami. Tak nampak pun trend akan jatuh, malah ditentukan mengikut jenis naik taraf yang dilakukan.
Chong antara yang masih setia menyimpan dan membela model berstatus bangsawan ini. Selain menjadi jentera peleseran bersama kawan-kawan di hujung minggu, ia juga bertindak sebagai kanvas larakan untuk melampiaskan minatnya dalam dunia modifikasi. Macam-macam benda dah bikin, termasuk memilih enjin K20A sebagai nadi gantian.
Begitu pun, Chong agak berahsia tentang senarai tingkat taraf yang telah dilakukan ke atas enjin ini. Masih standard kodok katanya. Menurut beliau, ia cuma dibina dan dicantikkan semula sebelum ditempel dengan komponen tambahan yang lebih sesuai.
Suapan udara diterima daripada penapis udara Apexi, sebelum menyelinap masuk menerusi unit throttle body Super90. Ia kemudian dilekatkan pada manifold kemasukan Skunk2 Ultra yang lebih efisyen. Bagi memulakan proses pembakaran, bekalan petrol dihantar ke rel bahan api K-Tuned, dengan kadar tekanan dilaras menggunakan regulator dari Sard. Untuk seliaan lebih tepat, perjalanan enjin ini seterusnya ditala oleh unit ECU Hondata K-Pro.
Keseluruhan sistem ekzos dibina secara kustom, sebelum dihubungkan kepada muffler perang 5Zigen Pro Racer GN+. Bagi memastikan hantaran kuasanya tidak sia-sia, bahagian kotak gear dilapik set klac jenis Exedy Hyper Single.
Bahagian luar dibuat seperti yang sepatutnya. Tak perlu sayap bagai, cukup dengan kit badan standard Civic EK9 Type R. Paling menarik, penggunaan bumper depan Air Walker yang lebih labuh, sebelum disudahkan dengan hood gentian karbon Spoon Sports, serta set splitter dan canard Tamada Motorsport.
Sektor pengendalian dibantu set suspensi boleh laras BC Racing ZR, termasuk penggunaan lengan bawah Hardrace dan plet subframe ASR. Sementara sistem hentian, kini menggunakan kit brek AP Racing Pro5000 di bahagian depan. Pelengkap kepada sektor ini adalah rim Volk Racing TE37 berukuran 17-inci, yang dipadankan bersama tayar Hankook Ventus RS4 dari saiz 245/40ZR-17. Bukan selalu boleh jumpa geng Civic pakai rim besar talam. Mujur masih kena dengan persembahan keseluruhan.
Kesematan bahagian kokpit disumbangkan oleh salinan komponen Civic EK9 di segenap ruang. Ia turut memiliki sepasang tempat duduk Bride Zeta3, set roll cage Cusco, stereng Momo, serta tuas gear dari K-Tuned. Paparan meter S2000 dan deretan meter Defi C2, melengkapkan senarai modifikasinya buat masa ini…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Chong
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EJ6
- Tahun – 1996
- Enjin asal – D16
- Modifikasi Enjin – K20A, cagak enjin Hasport, penapis udara Apexi, throttle body Super90, manifold kemasukan Skunk2 Ultra, rel bahan api K-Tuned, regulator Sard, radiator aloi Blox, penutup koil PracWorks, Hondata K-Pro
- Transmisi – Kotak gear manual Integra DC5, set klac Exedy Hyper Single
- Ekzos – Paip ekzos kustom, muffler 5Zigen Pro Racer GN+
- Luaran – Kit badan Civic EK9 Type R, bumper depan Air Walker, hood gentian karbon Spoon Sports, splitter & canard Tamada Motorsport
- Suspensi – BC Racing ZR
- Brek – AP Pro5000 (depan)
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 17-inci & Hankook Ventus RS4 245/40ZR-17
- Dalaman – Salinan komponen Civic EK9, tempat duduk Bride Zeta3, roll cage Cusco, stereng Momo, tuas gear K-Tuned, meter S2000, Defi C2
- Bengkel – Twinbee, Kuchai