Rata-rata orang berpendapat bahawa enjin Aspirasi Biasa (Normally Aspirated) tidak akan berupaya menerjah kuasa kuda dan tork tinggi jika saiznya tidak diubah. Ia dimaksudkan dengan enjin pembakaran dalaman dengan blok besar 3 hingga 5 liter. Sebagai contoh, enjin prestasi tinggi di Amerika secara tradisionalnya dicipta dengan kebuk pembakaran bersaiz gigantik yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 300 kuasa kuda dengan mudah.
Ia dipersetujui sejak sekian lama, malah pembuat kereta-kereta sport prestasi tinggi seperti Corvette, Ferrari dan Lamborghini juga menerima tradisi ini dengan anggapan, setiap kuasa yang terhasil perlu dinilai dari sudut reliabilitinya. Kos akan menjadi murah menerusi pembangunan enjin dengan kapasiti kecil, tetapi enjin tersebut sudah tentunya tidak dapat menghasilkan kuasa sebaik pembuat Eropah. Gabungan sistem berlandaskan force induction pula akan menyebabkan enjin tidak tahan lama, melainkan dipasangkan pada versi berCC besar. Oleh yang demikian, kesimpulannya masih pada tajuk asal, saiz enjin menentukan prestasi.
Namun pembuat kereta dari benua Asia, Jepun mempunyai pandangan yang sebaliknya. Daripada meneroka potensi sistem force induction pada enjin kecil, Honda memulakan inisiatif menghasilkan produk yang bakal diterima di seluruh pelosok dunia. Enjin yang ekonomikal, berkuasa dan menjimatkan bahan api. Sesuatu yang amat mustahil secara teorinya. Namun dengan pembangunan pesat teknologi dan kepakaran berpuluh tahun Honda, teknologi pemasaan injap atau VTEC telah menjadi sebahagian daripada corak pembuatan enjin mana-mana pengeluar masa kini.
Selain versi komersial VTEC, ia juga diperkenalkan untuk versi premium berlandaskan prestasi. Begitu juga pada harganya yang jauh lebih mahal. Oleh yang demikian, kebanyakan peminat kereta tempatan mengambil jalan singkat, menggunakan casis paling murah dan dipadankan dengan enjin paling berkuasa. Contoh yang paling mudah ialah transplan Civic tempatan kepada enjin-enjin Type R.
Seperti yang dilihat dalam keluaran ini, Civic EK3 milik saudara Fadzli merupakan proses lengkap bagaimana sebuah model asal Civic boleh disalin menjadi sebuah model premium EK9. Antara faktor yang mendorong orang memiliki model ini adalah bentuk badannya yang sporty dan gandingan enjin yang berkuasa. Di peringkat awal lagi, Fadzli sudah bersedia dengan proses pertamanya iaitu menyalin sepenuhnya enjin B16B EK9 Type R yang menggantikan enjin asal. Enjin ini pula telah merevolusikan aspirasi biasa yang berupaya menghasilkan 185 kuasa kuda pada 8200rpm dan 155 paun tork, satu kejayaan luarbiasa pada sebuah enjin berkapasiti 1.6 liter.
Pengubahsuaian dimulakan dengan enjin, enjin B16B kereta ini telah dikekalkan hampir standard dengan hanya beberapa aksesori bolt-on seperti penapis udara APEX’i dan Toda adjustable cam pulley yang menyumbang kepada sedikit peningkatan kuasa. Seterusnya, gas-gas ekzos dialirkan keluar dengan lebih lancar melalui Manifold ekzos Mugen 4-1, saluran terus 5Zigen Pro Racer. Fadzli juga telah mengubahsuai kotak gear keretanya serta pemadanan klac perlumbaan Exedy racing dan flywheel yang diringankan.
Bagi memantapkan bahagian pengendalian kereta ini, pemiliknya telah melakukan pengubahsuaian pada bahagian suspensi keretanya dengan menempatkan set suspensi dan brek asal EK9 yang sememangnya merupakan peralatan khusus yang direka untuk spesifikasi betul bagi menampung sejumlah kuasa yang agak buas. Langkah seterusnya, Fadzli telah memadankan rim CE28N berdiameter 15 inci dan dipadankan dengan tayar Yokohama Advan Neova AD07 bersaiz 195/55/15. Kombinasi rim dan tayar ini berupaya memberikan cengkaman yang baik untuk kegunaan harian di atas jalanraya.
Sudut dalaman Civic ini juga telah menerima sentuhan JDM sepenuhnya, di mana papan pemuka, tempat duduk dan kulit pintu kesemuanya peralatan asli EK9. Ringkasnya, kereta ini telah menerima salinan ubahsuai model EK asas kepada model premium perlumbaan EK9 yang lengkap. Lantas, bila dibuat kembali perkiraan, kombinasi seperti ini telah menjimatkan belanja lebih daripada 50 peratus berbanding membeli sebuah EK9 Type R asli. Begitu juga pada bahagian luaran yang telah dipadankan kembali dengan kesemua bodypart asal Civic spec 1999. Akhir sekali, warna kuning Spoon telah dilayangkan kepada keseluruhan pengbahsuaian tersebut.
Corak pengubahsuaian sebegini popular bukan sahaja di Malaysia, malah di Amerika sendiri, enjin-enjin Type R (B16B/B18C) amat digilai oleh golongan belia di sana. Enjin ini telah menerima pelbagai jenis R&D, daripada konsep NA yang dipadankan dengan sistem turbo custom ataupun turbo kit (HKS Sebagai contoh), hinggalah kepada versi supercharger seperti yang dibangunkan oleh Jackson Racing. Ringkasnya, enjin-enjin VTEC Honda memang terbukti berpotensi jauh untuk dimajukan dengan apa juga matlamat yang dikehendaki. Ia mampu memberikan kuasa dan tahap ekonomikal terbaik, ataupun situkar menjadi mesin lumba yang berupaya menyertai kelompok enjin yang jauh lebih besar daripadanya.
SPESIFIKASI
- Pemilik –
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EK3
- Tahun – 1997
- Modifikasi Enjin – B16B Type-R, EK9. 1.6 DOHC VTEC, penapis udara APEX’i, VAFC, Toda adjustable cam pulley. Kotak gear EK9, klac Exedy racing, lightened flywheel. Manifold ekzos Hi-Tech, saluran terus stainless steel, peredam bunyi Spoon.
- Transmisi –
- Elektronik –
- Ekzos –
- Suspensi – EK9
- Brek – EK9
- Rim & Tayar – Rim CE28N 15X 6.5 inci, Tayar Yokohama Advan Neova AD07
- Dalaman – Papan pemuka EK9, stereng, knob gear, seat EK9, Karpet Integra.
- Luaran – Bodykit EK tahun 1999 Type R, bonet karbon fibre replika Spoon, warna kuning Spoon.
- Bengkel –