Sebenarnya, ramai yang cuba jadikan minat atau hobi masing-masing sebagai punca pendapatan tambahan. Tengok aje di laman sosial, berapa ramai di kalangan kengkawan kita yang dah mula cuba-cuba nak jadi usahawan. Dulu belajar lain, dah kerja minat lain. Bila tiba masa yang sesuai, menukar kerjaya mungkin jalan terbaik setelah yakin dengan potensi yang sedang menanti.
Sama halnya dengan Dayat. Seorang cikgu kelas memasak, yang akan bertukar menjadi runner di waktu lapang. Asal dulu cari barang untuk kereta sendiri. Lepas pada tu, member-member pulak minta carikan. Bila orang dah mula kenal, ia akhirnya menjadi cabang perniagaan yang boleh menjamin masa depan.
Tak panggil runner lah kalau kereta sendiri tak merecik. Lepas puas bergelumang dengan rangkaian model tempatan, Dayat akhirnya memilih sebuah Lancer CK4 dengan enjin 4G92 MIVEC sebagai mainan barunya. Tanpa menunggu lama, enjin tersebut segera digantikan dengan sesuatu yang mari, selepas tersepak halfcut EVO VI ketika sedang merunner…
Enjin ini kemudian telah dibina semula menerusi penempatan komponen berprestasi tinggi yang sesuai. Bahagian blok mendapat set piston 86mm dari Manley, conrod dari Tomei, serta set galas enjin dari King Bearings. Di bahagian kepala silinder pulak, liang keluar-masuk telah melalui proses port & polish, bagi membenarkan pengaliran lebih efisyen. Dayat turut menggantikan aci sesondol asal dengan camshaft Tomei 270°, spring injap BC, serta sepasang cam pulley boleh laras Works Engineering untuk talaan pemasaan yang lebih sempurna.
Unit turbo menggunakan turbin TD06 25G, yang digantung pada manifold buatan Tonnka. Wastegate Tial yang disambungkan, bertindak mengawal tekanan pada perumah turbo berkenaan. Boost yang terhasil seterusnya disejukkan oleh intercooler Apexi yang bersambung menggunakan paip aluminum buatan RalliArt. Sementara injap pelepas dari Sheepdog, bertugas merembeskan tekanan berlebihan ke udara.
Keperluan bahan api datang dari pam petrol bertekanan tinggi AVS. Bagi melaras tekanan dan proses balikan petrol, ia dikawal menggunakan unit regulator Aeromotive. Talaan enjin pulak, nampaknya cukup dengan unit SAFC II buat masa ini…
Dayat memilih kit badan lengkap EVO V bagi menggantikan panel asal pada Lancer CK4 ini. Berbanding siri Evolution lain, kit badan ini sebenarnya jauh lebih rare memandangkan ia hanya dikeluarkan dalam tempoh masa yang singkat. Tapi tulah, tak ramai yang minat. Kalau body CK, CM, CN dan CP jer, pilihan utama mesti kit badan model TME…
Memastikan Lancer ini mampu dikendalikan dengan baik, sistem gantungan asal telah digantikan dengan set suspensi dari GAB. Begitu juga dengan sektor hentian yang dipertingkatkan dengan brek Brembo dari EVO VII. Untuk tampak lebih sado ketika tayarnya bergolek, bahagian roda kini dihiasi rim 17-inci Advan RG bersama getah Achilles ATR Sport berukuran 245/45ZR-17 setiap satu.
Persembahan dalaman menggunakan komponen dari EVO VI untuk papan pemuka, stereng dan tempat duduknya. Dayat turut menambah deretan meter Defi untuk tujuan pemantauan. Bantuan elektronik lain terdiri daripada unit pengawal boost Apexi AVCR, Apexi i-Cruising, pemasa enjin GReddy, juga unit Apexi SAFC II yang disebut tadi.
Mainan EVO ni memang cukup berhantu, lantaran barangan prestasinya yang masih bersepah ruah. Kalau ada yang baru nak main sama, golongan seperti Cikgu Dayat ni mungkin boleh membantu…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Dayat Garage
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Lancer CK4A
- Tahun – 1997
- Enjin asal – 4G92 MIVEC
- Modifikasi Enjin – 4G63T EVO VI, piston Manley 86mm, conrod Tomei, galas enjin King Bearings, port polish kepala silinder, camshaft Tomei 270°, spring injap BC, cam pulley Works Engineering, penapis udara Blitz, turbo TD06 25G, manifold turbo Tonnka, wastegate Tial 40mm, intercooler Apexi, paip intercooler RalliArt, injap pelepas Sheepdog, pam petrol AVS, regulator Aeromotive, radiator aluminium
- Transmisi – Kotak gear EVO IV, klac Ogura Super Single
- Ekzos – Trust Titanium
- Luaran – Kit badan EVO V
- Suspensi – GAB
- Brek – Brembo EVO VII
- Rim & Tayar – Advan RG 17-inci & Achilles ATR Sport 245/45ZR-17
- Dalaman – Papan pemuka EVO VI, tempat duduk EVO VI, stereng Momo RalliArt, panel karbon fiber, meter tambahan Defi, perehat tangan Lancer CK, Apexi AVCR, Apexi SAFC II, Apexi i-Cruising, pemasa enjin GReddy, sistem audio Pioneer/Carrozzeria
- Bengkel – Dayat Garage & Autoparts