Seperti generasi awal, Lancer Evolution generasi IV, V dan VI juga antara yang sukar untuk dimiliki. Ia bukan model produksi massa, menyebabkan jumlah yang wujud tidak mampu menampung permintaan semasa. Kalau jenis berduit sekalipun, belum tentu boleh pakai andai takde yang sanggup jual. Tu pasal kebanyakan yang melata merupakan model saduran yang telah diubahsuai.
Dalam pada takde tu, Boy antara yang bertuah memiliki model Evo VI sebenar. Dari sebuah model asas, penampilan kereta ini telah ditingkat sepenuhnya menerusi padanan kit badan TME yang serba lengkap. Diselitkan juga beberapa komponen tambahan seperti canard dan diffuser depan kustom, selain komponen gentian karbon untuk hood, cermin sisi RalliArt, dan bilah spoiler belakang. Memastikan kehadirannya mudah dikenalpasti, keseluruhan badan kereta telah dipalit warna voodoo blue yang jauh lebih memukau. Kaler Porsche GT3 nih!
Sektor pengendalian juga perlu menerima peningkatan yang sewajarnya. Untuk itu, Boy telah menyediakan set suspensi boleh laras Tein, termasuk padanan bar strut Valdi untuk depan dan belakang. Sistem hentian pula dipertingkatkan dengan kit brek 6-pot dari Endless di bahagian depan, dengan brek Brembo asal untuk belakang. Nak lagi mari, keseluruhan ruang roda kini dihuni rim Enkei RPF1 berukuran 18-inci, sebelum dibalut tayar Yokohama Advan Neova AD08 dari saiz 235/40R-18.
Disebabkan enjinnya belum pernah meragam, senarai tingkat taraf lebih tertumpu kepada sistem pendesak. Janaan kuasa datang dari turbo TD05H-20G, yang disangkut pada manifold Turbo S. Ia turut memegang wastegate Tial, yang berfungsi meredakan tekanan pada perumah turbo. Sebaik disejukkan, boost yang terhasil akan dibawa ke mulut throttle body Super90, sebelum lebihan tekanan dilepas keluar menerusi injap pelepas Blitz. Turut disentuh unit ECU asal yang telah diprogramkan semula, untuk capaian kuasa yang optimum.
Persembahan ruang dalam tentunya lebih mudah, memandangkan ia sudah dilengkapi komponen paling premium untuk model ini. Boy hanya menyediakan tempat duduk Bride Zeta III edisi Cusco di bahagian pemandu, stereng Momo Competition, termasuk pemasangan set roll cage dari Cusco. Aksesori pilihan lain terdiri daripada tombol gear Tomei, pelapik kaki Momo, paparan meter Dangun Racing, paparan gear Ultra, pemasa enjin Apexi, serta deretan meter Defi Advance BF untuk tujuan pemantauan.
Dimaklumkan, kereta ini mampu menjana kuasa sekitar 380 kekuda pada tahap boost tinggi. Cukup ke? Untuk sebuah kereta jalanan, rasanya sudah memadai….