Resort Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar telah menjadi lokasi berlangsungnya acara TT Santai AE9X Brotherhood 2K19, yang diadakan pada 12 Oktober lalu. Bermula dengan bual-bual kosong, acara ini berjaya direalisasikan oleh komuniti AE9X Taiping dan rakan-rakan pemilik sekitar Perak, membabitkan penyertaan hampir 90 buah jentera AE9X dari seluruh Semenanjung Malaysia.
Bermula pada jam 12.00 tengah hari, acara ini dipadatkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk mini autoshow. Sebanyak 12 kategori telah dipertandingkan seperti Best MDM, Best JDM, Best USDM, Best Levin, Best Cielo, Best FX, Best Interior, Best Engine dan banyak lagi.
Sejurus selesai sesi penjurian, para peserta dibawa berkonvoi melewati Istana Bukit Chandan untuk sesi bergambar. Acara kemudian dirancakkan dengan aktiviti BBQ dan karaoke di sebelah malam. Selain mengeratkan hubungan silaturahim, aktiviti seperti ini turut membenarkan mereka berkongsi minat dan bertukar pandangan antara satu sama lain.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada para peserta, khususnya kepada kelab-kelab yang mengambil bahagian seperti Kualer Corolla Club, Kelketu, Legasi Toyota, CIOC Ipoh, Toyota Corolla Kg Gajah, TTK, TLC, Cielo Comrade, Toyota Penang Community, Toyota Corolla N9, AE9X King dan lain-lain. Tidak lupa juga kepada para penaja, serta semua yang terlibat menjayakan acara ini.
Foto: Encik Bob