Pemandu rookie Hi-Rev SIC Dream Chaser Ady Rahimy Rashid, telah dinobatkan sebagai juara Malaysia Championship Series 2019 bagi kelas S Production 2 (SP2). Memandu Suzuki Swift #90, beliau berjaya mencapai matlamat selepas menamatkan perlumbaan 54 pusingan itu di tempat kelima. Sebelum ini, Ady yang juga pemenang e-MCS 2018 dan pemandu SIC Talent Development, telah memenangi 5 perlumbaan termasuk 2 kali naib juara daripada 9 perlumbaan yang dijalankan musim ini.
Cuaca hujan telah menyebabkan permukaan litar menjadi licin untuk 5 pusingan pertama. Ia turut menyebabkan jentera Ady berpusing dan perlu melakukan hentian pit pada pusingan ketiga untuk menukar tayarnya yang bocor. Sebaik kembali menyertai saingan, beliau berusaha mengejar dari belakang dan berjaya menduduki tempat kelima sejurus tamat perlumbaan.
Dalam kelas Malaysia Touring Car (MTC), gandingan Adam Khalid dan CY Ong yang memandu Suzuki Swift #100, berjaya menamatkan kejohanan musim ini di tempat ketiga keseluruhan. Sementara Angeline Lee bersama rakan seperjuangannya Sophia Menzenbach yang memandu Ford Fiesta #9, memainkan peranan besar dalam membantu kemenangan Adam Khalid dan CY Ong, selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh walaupun berdepan kesukaran.
Tahniah diucapkan. Satu lagi kejuaraan yang dikuasakan oleh Hi-Rev…!!!