1NZFE Squad telah menganjurkan acara Toyota Vios Trackday 2K18 – Attack The Track pada 5 Mei yang lalu, bertempat di Litar MIMC Air Keroh, Melaka. Sebagai tanda sokongan, ia turut dibantu Xado Atomic Oil, YH Auto, Nuhaqi Motorsport, Stickerdaily, Circle Media dan Ashraf Rashid Photowerks sebagai penaja bersama.
Penganjuran acara ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemilik Toyota Vios, merasai pengalaman pemanduan di litar. Selain mengasah bakat dan kemahiran, ia turut membolehkan para peserta berlumba dalam suasana lebih selamat dan terkawal.
Sejumlah 80 orang peserta telah mengambil bahagian, mewakili beberapa kelab dan bengkel seperti VFGOC, GGVM, VIC, VZS, TVS, VET, 8core Garage dan lain-lain. Mereka dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Manual, Auto, Open dan Ladies. Sebagai tambahan, para pengunjung juga boleh mengikuti cabaran stimulator yang disediakan.
Melihat kepada sambutan yang diterima, pihak penganjur bercadang untuk meneruskan acara ini pada masa akan datang.