Tokyo Auto Salon merupakan pameran tahunan yang sentiasa menjadi tumpuan peminat permotoran dan modifikasi. Berlangsung di Kompleks Konvensyen Antarabangsa Makuhari Messe pada 11 hingga 13 Januari yang lalu, seramai 330,666 orang pengunjung dari seluruh dunia hadir menyaksikan pameran automotif paling berprestij ini.
Sejak dianjurkan pada tahun 1983, Tokyo Auto Salon sering menjadi medan kepada pengeluar kenderaan, syarikat penala dan jenama aksesori, mempamerkan produk mereka yang inovatif serta konsep modifikasi terkini. Sebanyak 426 pempamer telah mengambil bahagian pada pameran kali ini, termasuk 906 buah kenderaan dari pelbagai segmen.
Acara lelongan anjuran BH Auction menampilkan 50 buah kereta esotik dan vintaj seperti Honda S800, Toyota Sports 800, Prince Skyline, Mercedes-Benz 300SL AMG, Ferrari Testarossa, termasuk barisan keluarga Skyline dan jentera lumba terpilih. Untuk edisi kali ini, bidaan tertinggi diperoleh menerusi sebuah Ferrari F40, yang berjaya dijual pada harga ¥ 121,000,000 (RM 4.5 juta).
Tokyo Auto Salon sentiasa menjanjikan pengalaman menarik, khususnya di kalangan mereka yang mengkagumi budaya modifikasi Jepun yang penuh warna-warni dan tersendiri.
Foto: tokyoautosalon.jp / mekanika.com.my