Atas sambutan yang menggalakkan, Mcclubz kembali menganjurkan acara Speed Junkies, khusus untuk peminat kereta dan dunia permotoran tanah air. Dikenali sebagai Speed Junkies Drift & Show 2019, ia telah diadakan pada 22 Jun yang lalu, bertempat di Litar Elite Plus Speedway, USJ Subang Jaya.
Acara kali ini dibawakan oleh DISQOVR sebagai penganjur bersama. Ia turut disokong barisan penaja lain seperti Toyo Tires, JQK Club, Prince Lubricants, WrapXpert, Shifuto Garage, K1 Exhaust Specialist dan Premium Dip Garage.
Sejak diadakan pada tahun 2016, acara Speed Junkies tertumpu kepada sukan trek dan drag. Namun untuk tahun ini, mereka cuba membawa kelainan dengan menganjurkan sukan drift. Hampir 30 orang drifter telah mengambil bahagian dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pro untuk pelumba profesional, manakala Cat 15 khusus untuk jentera dengan roda 15-inci.
Acara pertunjukan disertai para pemilik jentera prestasi sama ada melibatkan kelab atau milik individu. Antara yang mencuri tumpuan adalah sebuah Porsche 935, deretan Nissan Skyline, Honda NSX, Mitsubishi Evolution dan lain-lain.
Sebagai tanda penghargaan, pihak pengunjur telah berbesar hati menyediakan 500 tshirt dan stiker secara percuma. Selain itu, para pengunjung juga berpeluang meninjau gerai pameran dan jualan yang disediakan oleh pihak penaja dan penganjur.