Nissan Serena S-Hybrid Owners Club (SHOC) telah mengadakan perhimpunan mega pertama mereka pada 7 Disember lalu, bertempat di Eco Ardence, Setia Alam. Hasil kesepakatan bersama, lebih 100 orang peserta bersama keluarga masing-masing hadir menjayakan acara ini.
Pemilihan Eco Ardence sebagai lokasi adalah bertepatan dengan tema persekitaran kawasan berkenaan yang mesra alam, serta memiliki pelbagai kemudahan yang diperlukan seperti tempat letak kereta, pusat peniaga, juga taman rekreasi yang menarik. Hal ini tentunya memberi lebih keselesaan, khususnya kepada mereka yang datang bersama keluarga.
Sesi pendaftaran dibuka seawal jam 9.00 pagi. Sambil menunggu ketibaan rakan-rakan, kesempatan bertemu digunakan untuk lebih mengenali antara satu sama lain, serta mengikuti aturcara yang disediakan. Antaranya sesi pandu uji, acara permainan untuk kanak-kanak, juga meninjau gerai pameran yang disediakan oleh pihak penaja.
Selesai jamuan makan tengahari, acara diteruskan dengan sesi penerangan oleh wakil Eco Ardence berkenaan pembangunan kawasan berkenaan. Ini disusuli dengan penyampaian plak penghargaan kepada para penaja, serta cabutan bertuah. Acara tamat dengan sesi foto berkumpulan, sebagai tanda kenangan menjayakan perhimpunan mega kali ini.
Kepada pemilik Nissan Serena S-Hybrid C26 dan C27 yang berminat, anda boleh sertai mereka menerusi laman www.facebook.com/SHOCmy/