Keadaan cuaca yang tidak menentu, telah mengubah situasi perlumbaan Rally Of Terengganu yang berlangsung di Lembah Bidong, Setiu pada 14-15 Disember yang lalu. Dirasmikan oleh Sultan Terengganu, DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin, ia menyaksikan kebangkitan pasangan Indonesia Rachmat / Donny Wardono untuk muncul selaku juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut.
Hampir 30 buah jentera telah mengambil bahagian dalam pusingan paling mencabar ini. Daripada 13 peringkat yang dicadangkan, ia bagaimanapun telah dipendekkan kepada 8 memandangkan sebahagian laluan telah digenangi air akibat hujan lebat, sekaligus menghalang kelancaran perlumbaan.
Walaupun menduduki tempat kedua pada hari pertama, Rachmat / Donny yang memandu Mitsubishi Evolution 9 dari MRU Motorsports, bangkit menguasai perlumbaan pada hari kedua. Mereka berjaya menidakkan cabaran Muhammad Rafiq Udhaya / Mohd Tarmimi juga dari MRU Motorsports, dengan kelebihan masa 1 minit dan 20 saat.
Podium ketiga milik Sutan Mustaffa / Amiruddin Baharun, yang kembali dengan pasukan dan jentera Subaru Impreza serba baru. Manakala Karamjit Singh yang mendahului perlumbaan pada hari pertama, gagal meneruskan kemaraan selepas jentera beliau terkandas di salah satu laluan dan sekadar berpuas hati di tempat keempat keseluruhan.
Kategori 2WD dikuasai pasangan Norazizi Zainal Abidin / Shazwan Akif Shahrol (P11) yang menduduki tempat kelima keseluruhan. Ini diikuti Abdul Kaathir / Tri Arjuna (P10) dari Team 23 Motor, serta Faidzal Alang / Hazwan Fauzi (P10) yang kembali menyertai perlumbaan selepas berehat selama 2 tahun.
Foto: Last Hope / Encik Bob / Ishraqi Mokhtar