Untuk kali kelapan berturut-turut, Passo Boon Fan Club (PBFC) telah menganjurkan perhimpunan tahunan untuk para peminat model Passo dan Boon, bertempat di Perkarangan Parkir Bangunan PKNM, MITC Melaka pada 16 September yang lalu. Seperti tahun sebelumnya, ia turut memberi ruang kepada peminat model Sirion, Hana, Sette dan Luminas mengambil bahagian dan merasai kemeriahan acara ini.
Pihak Passo Boon Melaka telah diberi tugas mengelolakan perhimpunan kali ini, sambil dibantu sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk. Mereka turut mendapat sokongan puluhan syarikat dan individu sebagai penaja bersama, seperti RF Design, Sepet Jer Autopart, Automania JDM Autopart, NHK Garage, K3 Garage, Mr Carbon, UHJ Garage, MH Trading, Wan Prangg, 93 Auto Project, Jembo JDM Garage, Fa JDM Garage, Akoo JDM Autopart, Tomato Man, Kejos Autopart, DNZ Autogarage, 77 Garage, King Jidosha, ToraTora Motorsport, Modellista Autopart, JAG Garage dan Passo Brothers.
Lebih 2000 buah kereta telah mengambil bahagian, sama ada mewakili kelab, komuniti, bengkel, atau hadir sebagai peserta persendirian. Antaranya Passo Boon Fan Club, Passo Boon Melaka, Passo Boon N9, Passo Boon Northern, Passo Boon Southern, Passo Boon Eastern, Passo Boon Borneo, Passo Boon Sirion Pahang, Passo Boon Banting Region, Passo Boon Myvi Community, Passo Boon Klang, Passo Boon Shah Alam, Passo Boon Hana Community dan lain-lain.
Tarikan utama pasti terarah kepada pertandingan autoshow, yang menampilkan 150 buah kereta terbaik mengikut kategori masing-masing. Pelbagai aktiviti sampingan turut diatur sepanjang acara berlangsung seperti sesi cabutan bertuah, permainan, gerai pameran, serta jualan aksesori dan cenderamata. Kesempatan berkumpul ini juga membolehkan mereka mengerat hubungan silaturahim, selain bertukar pendapat dan pandangan tentang corak modifikasi semasa.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua yang telah mengambil bahagian. Semoga kemeriahan acara ini dapat diteruskan, pada penganjuran yang akan datang.
Laporan: Azizi Othman (Boy)
Foto: Syed Hilmi Photography