Sekumpulan pendokong media sosial berteraskan automotif dari Malaysia, Singapura dan Indonesia, telah bergabung tenaga untuk menganjurkan Infest Meet 2018 pada 5 Mei yang lalu. Berlangsung di kawasan parkir LRT Glenmarie, ia menyatukan penggiat laman sosial terkenal seperti Static365, Simpleandlow Malaysia, Adam Photography, BlackMailz, Boystoys Malaysia dan R124 AutoArt selaku penganjur bersama.
Acara ini memberi ruang kepada peminat permotoran berkumpul dan bersantai, tanpa mengira jenis atau corak modifikasi yang dilakukan ke atas jentera masing-masing. Ia mengambil ilham dari sesi pertemuan yang sering dilakukan oleh peminat permotoran di luar negara. Walaupun tanpa aktiviti khusus, acara ini tetap menerima sambutan yang menggalakkan termasuk kehadiran beberapa selebriti terkenal tanah air.
Peluang meninjau setiap jentera yang mengambil bahagian digunakan sepenuhnya orang mereka yang hadir. Selain bertemu rakan-rakan, kesempatan ini juga membolehkan mereka menambah kenalan dan berkongsi cerita tentang modifikasi. Pihak penganjur turut menyediakan ruang kepada para peniaga, menjual cenderamata dan aksesori kenderaan di sini.
Kumpulan media ini sering dijemput membuat liputan acara permotoran, sama ada dalam mahupun luar negara. Kesungguhan mereka menganjurkan acara ini, sememangnya harus dipuji dan dihargai.
Foto: Adam Photography & Stxyhumble Origin