Tanggal 12 & 13 Oktober lalu mencatat satu lagi sejarah dalam dunia permotoran tempatan apabila buat julung kalinya, ROWW Team Malaysia telah mengadakan pameran kereta dan sesi pemanduan khas Drive 4 Paul, khusus untuk peminat Paul Walker dan francais Fast & Furious di Malaysia. Untuk makluman, Reach Out World Wide (ROWW) merupakan sebuah organisasi bebas yang berusaha membantu responden kecemasan ke kawasan bencana di seluruh dunia.
Penganjuran acara ini mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute(MARii). Hadir sama Cody Beau Walker, adik kepada mendiang Paul William Walker yang bertindak selaku duta kepada organisasi ini.
Acara pertama In Memory of Paul Walker Car Show telah berlangsung di Bandar Malaysia (TUDM Sungai Besi). Ia disertai lebih 400 buah kereta pelbagai model, sama ada mewakili kelab atau individu. Paling mencuri tumpuan beberapa model replika dari francais Fast & Furious, yang telah dibina khas untuk acara ini.
Hari kedua berlangsung jamuan makan tengahari, khusus untuk tetamu jemputan di Hotel Equatorial Kuala Lumpur. Sejurus selesai, mereka berkonvoi ke Putrajaya dan bertemu kumpulan kereta yang menunggu di sana. Konvoi kemudian diteruskan ke Litar Antarabangsa Sepang, sebelum dibawa mengelilingi litar sebagai simbolik kemuncak acara Drive 4 Paul yang dianjurkan.
Keseluruhan dana yang berjaya dikumpul, akan disalurkan kepada mangsa bencana alam menerusi Reach Out World Wide (ROWW).
Foto: Adam Photography & Street Style Media