Cuaca yang panas dengan suhu trek mencecah 40°C, sebanyak 72 buah jentera telah mengambil bahagian dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1K) tahun ini. Ia adalah perlumbaan lasak terbesar pernah diadakan yang menguji ketahanan, ketekunan dan kekuatan setiap pasukan. Malah perlumbaan ini turut menyaksikan pelbagai insiden, masalah kegagalan jentera, juga ujian stamina kepada para pelumba.
Pasukan Hi-Rev SIC Dream Chaser mempertaruhkan 4 buah jentera pada perlumbaan kali ini. Untuk kelas M Production, mereka menggunakan Suzuki Swift #100 yang dipandu Adam Khalid, Freddie Ang dan Gilbert Ang. Sebuah lagi Suzuki Swift #900 yang menyertai kelas S Production 2, dipandu Ady Rahimy dan pelumba termuda pasukan berusia 15 tahun Hayden Haikal. Bagi perlumbaan Vios Enduro Cup pula, nama besar dalam sukan motosikal Malaysia Hafizh Syahrin, telah digandingkan bersama Alister Yoong, anak kepada pelumba F1 pertama negara Alex Yoong dan Bradley Anthony dengan jentera Toyota Vios #910. Sementara Angeline Lee dan Siti Shahkirah dengan Toyota Vios #9, diberi peluang untuk bersaing dalam kelas yang sama.
Kesemua jentera memulakan perlumbaan tanpa sebarang insiden tidak diingini. Adam Khalid bermula di petak kesembilan dalam kelas M Production, manakala Ady Rahimy di tangga ketujuh untuk kelas S Production 2. Bagi perlumbaan Vios Enduro Cup pula, Hafizh Syahrin berjaya bermula di tempat pertama, sambil diiringi Angeline di petak keempat.
Memasuki 4 jam perlumbaan, kesemua jentera diarah berhenti akibat tindakan teknikal. Jentera #100 dikenakan penalti 7 minit, selain 2 minit untuk jentera #900 dan #910, serta 3 minit untuk jentera pasukan wanita. Begitu pun, Hafizh Syahrin, Alister Yoong dan Bradley Anthony masih mengetuai kelas mereka dan berjaya menjarakkan diri hampir satu pusingan. Namun ketika pusingan ke 68, jentera di hadapan telah terbabas dan bertembung dengan jentera #910, mengakibatkan mereka terpaksa bersara lebih awal.
Tiga lagi jentera terus mengharungi perlumbaan dan berjaya memperbaharui kedudukan masing-masing. Di penghujung perlumbaan, Angeline dan Shahkirah telah dinobatkan selaku juara keseluruhan untuk kelas Vios Enduro Cup. Ady dan Hayden pula menduduki tempat ketiga dalam kelas S Production 2. Sementara Adam Khalid, Freddie dan Gilbert Ang terlepas kedudukan podium dan hanya menduduki tempat keempat kelas M Production di belakang pasukan pengeluar.
Satu lagi kejayaan yang dikuasakan oleh Hi-Rev…!!!