Citer bermula apabila salah satu page ala-ala modified gitu, telah mengupload gambo kereta ini dengan caption yang salah. Preve pakai enjin EVO III katanya. Maka berduyun-duyunlah masyarakat modifikasi di alam Malaya, cuba membetulkan semula fakta tersebut. Harem tak layan. Entah dah delete ke belum gambo tu, owner sendiri tak tau…
Bermula dari situ, gua mula mengenali pemiliknya Ady yang tinggal nun jauh di Utara. Dari bulan berganti tahun, sampai sudah tak jumpa peluang meninjau buah hati pertamanya ini secara dekat. Lepas puas mengelat dan mengelak, beliau akhirnya bersetuju untuk turun makan angin, sekaligus berkongsi pengalaman membina kereta ini dengan kita semua.
Ady sebenarnya bertindak bijak apabila membeli sebuah model asas berbanding varian CFE yang premium rangers tuh. Dah pasang niat dalam kepala kot, jadi tak perlulah pilih yang mahal-mahal. Sewaktu mula berjinak-jinak, modifikasi ringan yang dilakukan tidak mendatangkan hasil yang memuaskan. Pasang stiker bagai nak rak pun tak laju-laju jugak. Tanpa banyak pikir, beliau nekad menggantikan enjin asal ini dengan sesuatu yang boleh menggeletek naluri kelajuannya.
Masalah yang perlu Ady hadapi adalah, ketiadaan sumber rujukan yang benar-benar kukuh untuk dijadikan sandaran. Memang ada yang dah cuba sebelumnya, ada jugak yang gagal di tengah jalan. Di tangan Pitwork Garage, kereta ini perlu diperam selama 6 bulan untuk dijadikan tikus makmal. Yer, 6 bayar ansuran tapi takleh pakai…
Lepas dicongak-congak, Ady cuba menggantikan enjin Campro IAFM yang ada dengan 4G63T idaman. Pusing punya pusing, terjumpa pulak halfcut EVO VI TME yang nampak sangat lazat. Sejurus tiba di bengkel, ia segera dilapah termasuk mengenakan proses port & polish ringan di bahagian kepala silinder.
Cagak enjin sama ke? Sama untuk tepi dan depan, cuma yang belakang jer kena bikin balik. Lepas kotak gear LSD yang diperolehinya selamat dikunci, timbul pulak masalah driveshaft tak cukup panjang. Yang ni pun kena hantar bikin. Untuk keseluruhan sistem pendawaian, ia langsung tak diusik dan disalin sepenuhnya dari halfcut.
Kemasukan enjin ini datang dengan sedikit tingkat taraf, khususnya di bahagian sistem pendesak. Unit turbo TD05RA yang ada, digantung pada sebuah manifold turbo S-Tech bersama wastegate Turbosmart UltraGate38. Boost yang terhasil kemudiannya disejukkan oleh intercooler Sard lengkap dengan paip sambungan kustom. Lebihan boost yang tidak digunakan, seterusnya dilepas keluar melalui injap pelepas Sheepdog, mengikut kadar yang ditetapkan oleh unit pengawal boost GReddy Profec B Spec II.
Bekalan bahan api dibawa dari pam petrol Walbro dengan kadar tekanan dilaras menggunakan unit regulator Works Engineering. Tangki petrol EVO VI yang asalnya tergolek di tepi bengkel turut diguna sama. Bukan sebab nak kais 4 kaki, tapi nak kasi sistem ekzosnya boleh dibina lebih lurus.
Kereta ini sememangnya gemok, lagi-lagi lepas dipasangkan dengan kit badan dari R3. Kemudian ditambah hood, fender dan spoiler kustom. Mengurangkan pandangan kosong pada bahagian bumbungnya, ia ditebuk untuk menempatkan unit sunroof dari Honda Civic. Disebabkan kaler putih asal memang payah nak jaga, Ady balut semula keseluruhan kereta ini dengan stiker berwarna oren.
Nampak rim putih yang hensem terok tu? Enkei Tarmac EVO namanya. Balut pulak dengan tayar Pirelli Cinturato dari saiz 215/45ZR-17. Sistem brek Brembo disalin terus dari halfcut untuk depan dan belakang. Manakala sektor pengendalian, dibantu set suspensi boleh laras jenis GAB SS Series.
Untuk tujuan keselesaan, Ady ingin mengekalkan komponen asal Preve di bahagian dalam. Masalah problemnya, kebanyakan komponen elektronik mungkin gagal berfungsi. Sesetengah orang akan cuba kacuk sambung wayar-wayar yang ada. Tapi Ady sebaliknya, berusaha sedaya mungkin memasukkan komponen penting seperti sub stereng, tuas lampu, meter utama dan pengawal suhu digital EVO VI ke dalam dashboard Preve ini. Bijak! Lepas puas diejas-ejas, nampak cunlah pulak…
Tambahan lain meliputi penggunaan stereng Momo EVO IX, meter boost Defi, pemasa enjin HKS Type 1, serta pemain audio Suprima S. Untuk tampak lebih mewah, tempat duduk, panel pintu, pilar dan lining bumbung dibalut dengan kemasan hitam-oren. Selain itu, mana-mana panel penting di bahagian dashboard dan pintu, diberi efek karbon fiber menggunakan kaedah water transfer.
Nah! Akhirnya sebuah lagi modifikasi dengan gaya tersendiri berjaya dibukukan. Yang pasti, ia takkan terus terhenti di sini. Bila ada yang berani mulakan, lebih banyak yang seumpamanya bakal menyusul selepas ini…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Ady KCK
- Pengeluar – Proton
- Model – Preve Executive MT
- Tahun – 2012
- Enjin asal – CamPro IAFM
- Modifikasi Enjin – 4G63T EVO VI TME, port & polish kepala silinder, cam pulley RalliArt, cagak enjin & driveshaft kustom, penapis udara Blitz, turbo TD05RA, manifold turbo S-Tech, wastegate Turbosmart UltraGate38, intercooler Sard, paip intercooler kustom, injap pelepas Sheepdog, pengawal boost GReddy Profec B Spec II, pam petrol Walbro, regulator Works Engineering, ROM ECU RalliArt
- Transmisi – Kotak gear manual LSD
- Ekzos – Paip kustom 3-inci, muffer HKS Jasma
- Luaran – Kit badan R3, hood, fender & spoiler kustom, sunroof Honda Civic, balutan stiker badan
- Suspensi – GAB SS Series
- Brek – Brembo EVO TME
- Rim & Tayar – Enkei Tarmac EVO 17-inci & Pirelli Cinturato 215/45ZR-17
- Dalaman – Sub stereng, tuas lampu, meter utama & pengawal suhu digital EVO VI, stereng Momo EVO IX, meter boost Defi, pemasa enjin HKS Type 1, pemain audio Suprima S, balutan hitam-oren tempat duduk, panel pintu, pilar & lining bumbung, panel dashboard & pintu karbon fiber
- Bengkel – Pitwork Garage, 2MS Racetech, Atlantik Sticker