Sejak bertahun lamanya, casis lelumba seperti ini sering dipilih untuk beraksi dalam dunia permotoran khususnya sukan drag. Ia sudah terbukti dan jelas diterima baik penggiat sukan ini, sama ada berstatus individu mahupun pasukan. Mungkin sebab faktor usia, menyebabkan ia berbaloi untuk dikerjakan. Nak kasik ringan pun senang, selain mampu menerima tujahan dari enjin penuh kuasa.
Lepas katam dengan setup NA, penggiat modifikasi Honda mula mencipta sesuatu yang boleh membunuh jentera turbo hakiki, menerusi penghasilan setup turbo gantung kepada enjin B Series. Giler power, sampai yang tak masuk akal pun ada. Kini, ia bukan saja digunakan untuk tujuan perlumbaan tapi juga kepada model jalanan biasa.
Fareez antara yang memilih setup turbo gantung untuk jentera mainannya. Memandangkan ia masih sah digunakan atas jalan, bahagian luar hanya mengenakan kit badan Civic EG6 hitam kelam. Ia kemudian menerima hood fiber kustom, boot karbon fiber, cermin sisi Craft Square, serta diffuser bumper Golden Eagle. Di bahagian roda pulak, tersemat rim SSR Type C yang datang dalam saiz berbeza.
Berbanding luar, ruang enjin nampak lebih mahal hasil pemilihan kaler syiling lima posen. Sebelum boleh diturbokan, enjin jenis B16B Type R yang menjadi asas binaan ini perlu diperkuatkan semula dengan perkakasan berprestasi yang sesuai. Ruang silinder diisi sleeve dari Darton serta piston Wiseco 85mm. Sementara sambungan ke bahagian crankshaft dihubungkan dengan conrod dari Jun.
Proses port & polish kepala silinder dah jadi perkara wajib, sebelum disumbatkan dengan komponen prestasi lain. Antaranya camshaft Pro 1, retainer titanium, spring injap dan lifter dari Skunk2. Stem injap merupakan komponen dari Ferrea, manakala pemasaan injap dilaras menggunakan sepasang cam pulley dari Jun.
Untuk kit turbonya, Fareez memilih untuk memasang turbin Garrett GTX3582 pada manifold turbo Tonnka, yang turut menempatkan wastegate Tial 38mm. Janaan boost yang terhasil, kemudiannya disejukkan oleh intercooler Calsonic yang dihubungkan kepada manifold kemasukan Top Fuel kustom menggunakan paip sambungan jenis aloi. Tekanan boost yang diperlukan dikawal oleh unit solenoid jenis boost by gear dari Hondata. Sementara kadar boost berlebihan, dilepas keluar melalui injap pelepas Tial.
Bekalan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro 415, terus ke rel bahan api AEM yang turut memegang unit regulator dan set injektor 2000cc. Kuasa cucuhan pulak, diletuskan oleh pek koil CPR Hondata yang menerima arahan dari unit ECU Hondata S300 V3. Jumlah kuasa yang terhasil akan dihantar ke bahagian kotak gear yang mengandungi ratio gear dari Top Fuel serta final drive 4.9 OS Giken. Ia diperkukuhkan lagi dengan set klac plet berkembar OS Giken, juga unit LSD dari jenama yang sama.
Bergiat dalam kategori True Street, ruang dalaman perlu mengekalkan sebahagian besar komponen yang ada. Cermin pintu jenis pulas window pun ada lagi. Pada dashboard kelihatan stereng dari Momo, meter Speed V Pivot, meter boost Apexi, serta deretan meter Defi. Sementara sepasang bucket Bride, mengisi ruang tempat duduk bahagian depan.
Fareez masih tercari-cari formula kemenangan bersama jentera ini. Untuk rekod, catatan terbaik yang pernah dilakukan adalah 7.83 saat untuk jarak 200 meter. Mungkin masih ada yang tak kena. Itu belum kira persaingan yang sentiasa sengit!
SPESIFIKASI
- Pemilik – Fareez Nassir
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EG3
- Tahun – 1995 / 1999
- Enjin asal – D13B
- Modifikasi Enjin – B16B Type R, sleeve Darton, piston Wiseco 85mm, conrod Jun, port & polish, camshaft Pro 1, retainer titanium, spring injap & lifter Skunk2, stem injap Ferrea, cam pulley Jun, cagak enjin Hasport, takung minyak Morosso 5.5-liter, crank pulley ATI Damper, pam air elektrik Meziere, radiator aloi Blox, turbo Garrett GTX3582, manifold turbo Tonnka, wastegate Tial 38mm, intercooler Calsonic, manifold kemasukan Top Fuel kustom, paip intercooler aloi kustom, solenoid boost by gear Hondata, injap pelepas Tial, pam Walbro 415, rel bahan api & regulator AEM, injektor 2000cc, koil CPR Hondata, ECU Hondata S300 V3
- Transmisi – Kotak gear manual, ratio gear Top Fuel, final drive 4.9 OS Giken, klac plet berkembar OS Giken, LSD OS Giken, driveshaft MFactory
- Ekzos – Paip ekzos kustom 3-inci
- Luaran – Kit badan Civic EG6, hood fiber kustom, boot karbon fiber, cermin sisi Craft Square, diffuser bumper Golden Eagle
- Suspensi – PCR
- Brek – Civic EG6
- Rim & Tayar – SSR Type C 16-inci & Yokohama Advan AD050 225/45R-16 (depan), SSR Type C 15-inci & Achilles ATR K-Sport 165/50R-15 (belakang)
- Dalaman – Stereng Momo, meter Speed V Pivot, meter boost Apexi, meter Defi, bucket Bride, tuas gear K-Tuned
- Bengkel – Najib Auto Garage