Kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Kerana Satria GTi kaler nila baju sekolah ni, habis berpinau mata dibuatnya. Merelit sungguh dan ia tidak diejes-ejes untuk kelihatan begitu rupa. Memang ginilah kalernya kalau tengok depan mata.
Pemilik kereta ni nama Kamarul yang juga merupakan pomen di ABC Garage, sebuah bengkel terkenal di Bandar Ikan Patin. Dah nama pun pomen, apa barang pakai kereta standard kilang. Selain untuk kepuasan diri, ia turut dijadikan bahan projek untuk mempromosikan perkhidmatan modifikasi di bengkelnya. Tunjuk sikit apa boleh buat, baru boleh market.
Unsur estetika juga disumbangkan oleh kit badan Satria GTi yang asal. Jujurnya memang ini yang paling lawa dan masih diburu pemilik Satria lain. Ia kemudian diperkemaskan dengan lip depan R3, cermin sisi Ganador kustom, termasuk komponen karbon fiber untuk fender, spoiler dan penutup tangki minyak. Baru ringan sket!
Walaupun jarang-jarang bersokaneka, peningkatan di bahagian enjin tetap menimbulkan rasa runsing. Dikuasakan oleh enjin 4G63T, senarai naik taraf meliputi penggunaan piston Wiseco HD 86mm, conrod BC 156mm, galas enjin King Bearing, serta crankshaft EVO VI. Bahagian kepala silinder menerima rawatan port & polish, termasuk penempatan camshaft GSC 274° dan cam pulley kustom.
Nampak peti ais kat bumper depan tuh? Memang sajalah kalau tak nak bagi laluan. Intercooler setebal 4-inci jenis HKS Type GT tu digunakan untuk menyejukkan mampatan boost dari turbo Garrett GT35 yang digantung pada manifold turbo Force Performance. Disertakan juga wastegate Sard 60mm, injap pelepas HKS SSQV, serta paip sambungan jenis aloi sepenuhnya.
Enjin dengan setup sehebat ini, wajib disertakan dengan suapan bahan api secukupnya. Menggunakan pam petrol Walbro 400, ia dibawa ke rel bahan api Works Engineering sambil tekanannya dikawal oleh unit regulator Sard. Suntikan ke kebuk pembakaran pulak diserahkan kepada set injektor ID 1000cc sebelum diletuskan oleh koil jenis COP dari enjin K20.
Terpampang di belakang bonet adalah kit water-methanol dari AEM, yang menjadi salah satu resepi penting kepada kereta ini. Bukan saja membantu mengurangkan suhu enjin, tapi turut mengelak situasi letusan pra matang ketika boost tinggi. Bagi melengkapkan proses pembakaran enjin ini, unit ECU kini menggunakan perisian jenis Link G4 Plug-In. Patut ada bunyik pelepapp pap!
Bersama enjin ini adalah kotak gear Mitsubishi Eclipse yang dipadankan dengan klac plet berkembar OS STR, sebelum kuasanya dipindahkan ke rim Volk Racing TE37 bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar Yokohama S Drive. Kuasa hentian nampaknya masih lagi standard. Manakala sektor pengendalian mendapat sentuhan set suspensi boleh laras jenis Tein Type Flex.
Belah dalam cukup sempoi dengan komponen asal Satria GTi. Komponen asing lain pun ada jugak macam meter utama EVO, stereng Momo, armrest telor, tuas gear Beatrush serta tempat duduk kepit Recaro SPG di bahagian pemandu. Aspek pemantauan pulak datang dari gugusan meter Defi yang tertenggek elok di tengah papan pemuka.
Kan seronok bila hobi jadi kerjaya. Lagi-lagi kalau ada bengkel sendiri macam Kamarul…