Sudah menjadi lumrah, model tertinggi yang diperkenalkan pada setiap varian, akan menjadi benchmark kepada para pemilik untuk cenderung ke arah itu. Jarang sangat yang minat nak patah ke belakang, kecuali di kalangan mereka yang benar-benar inginkan kelainan.
Bagi pemilik Lancer CK / CM waima EVO CN / CP sekalipun, benchmark mereka tentulah model EVO VI TME yang terus dijulang sebagai model edisi khas paling sempurna pernah dihasilkan oleh Mitsubishi. Satu dunia duk kejor benda yang sama, menyebabkan kebanyakan komponennya masih bernilai tinggi. Dengan niat itu juga, Abe turut menetapkan matlamat untuk menjadikan Lancer miliknya sebijik macam EVO VI TME. Makan tahun jugaklah nak siapkan, sebelum mampu berbangga dengan apa yang kita lihat kini.
Untuk luar, Abe telah menyarungkan kit badan EVO VI TME tanpa ada satu pun komponen yang tertinggal. Diselitkan juga unit sunroof EVO VI di bahagian bumbung, serta sepasang cermin sisi Ganador dengan kemasan karbon fiber. Walaupun EVO VI TME pernah datang dalam 5 warna berbeza, pemilihan kaler merah lebih mendapat tempat memandangkan ia mirip kepada jentera milik Tommi Makinen yang sebenar.
Kalau yang lain sibuk carik rim mangkok-mangkok, Abe nampaknya masih berpuas hati dengan rim Enkei RalliArt yang diperolehinya. Benda susah jumpa, kena pulak dengan konsep yang dibawa. Bagi membetulkan kembali sektor pengendalian, kedudukan kereta kini ditongkat menggunakan set suspensi boleh laras dari D&D.
Tinjauan ke bahagian dalam juga menyaksikan salinan penuh komponen milik EVO VI TME, bermula dengan papan pemuka, stereng, panel pintu, termasuk tempat duduk yang masih lagi meninggal reganya. Kalau tak kisah kena penyakit gatal-gatal, yang copy dari Thailand pun encem jugak. Itu pun tak murah seperti yang disangka. Paparan tambahan pulak cukup dengan seketul meter boost Apexi, unit RSM serta unit SAFC II yang berfungsi sebagai alat kawalan kepada kotak ECU asal.
Umum mengetahui tentang siri 4G63T yang mesra ubahsuai. Alang-alang nak jadi EVO tu, Abe turut memilih enjin ini sebagai gantian. Memandangkan kedudukan cagaknya yang hampir sama, ia boleh dicelup masuk tanpa perlu diubahsuai. Nak dapat kelulusan pun senang. Memang rugi besor kalau tak guna peluang yang ada.
Kemasukan enjin ini disertakan dengan senarai tingkat taraf yang bersesuaian. Tak banyak mana, tapi ada ler dikit-dikit. Antaranya penggunaan gasket keluli Cometic serta stud dari ARP. Untuk sistem pendesak, kemasukan udara datang dari penapis udara HKS, sebelum dimampatkan oleh unit turbo TD05HR-20G. Ia masih digantung pada manifold cast iron asal, yang turut mengandungi sebuah wastegate Turbosmart Comp Gate 40mm.
Boost yang terbentuk kemudian dibawa ke unit throttle body menerusi binaan paip intercooler kustom. Lebihan tekanan yang tidak digunakan, seterusnya dilepas keluar menerusi injap pelepas Turbosmart Race Port. Memastikan enjin ini tidak kelaparan, bekalan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, sebelum dilaras menggunakan unit regulator Tomei.
Tidak cukup dengan enjin, salinan yang dibuat turut melibatkan sistem pacuan, di mana keseluruhan komponen AWD EVO VI telah dimuat naik. Memastikan tujahan kuasanya tidak sia-sia, bahagian kotak gear kini dilapik set klac jenis plet berkembar dari Competition Clutch.
Banyak ke abis nak jadi cenggini? Boleh tahan jugaklah. Kalau bumper depan sebijik pun dah makan RM3.5K, kau rasa…?
SPESIFIKASI
- Pemilik – Fahmi (Abe)
- Pengeluar – Mitsubishi
- Model – Lancer CK2A
- Tahun – 1998
- Enjin Asal – 4G15
- Modifikasi Enjin – 4G63T EVO VI TME, gasket keluli Cometic, stud ARP, penapis udara HKS, turbo TD05HR-20G, wastegate Turbosmart CompGate 40mm, paip intercooler kustom, injap pelepas Turbosmart Race Port, pam petrol Walbro, regulator Tomei, radiator aloi Forged Racing
- Transmisi – Kotak gear manual EVO VI, klac plet berkembar Competition Clutch, sistem pacuan AWD EVO VI
- Ekzos – Paip kustom 3.0-inci, muffler Kakimoto Regu 06&R
- Luaran – Kit badan EVO VI TME, sunroof EVO VI, cermin sisi Ganador karbon fiber
- Suspensi – D&D
- Brek – Brembo EVO VI
- Rim & Tayar – Enkei RalliArt 17-inci & Yokohama S-Drive 225/45R-17
- Dalaman – Salinan komponen EVO VI TME, tombol gear RalliArt, meter boost Apexi, RSM & SAFC II Apexi
- Bengkel – MG Auto Garage, Panching Auto Garage