Mengikut sejarah, nama GT-R hanya digunakan Nissan pada model Skyline KPGC10 Hakosuka, diikuti model KPGC110 Kenmeri selepas itu. Akibat krisis minyak yang melanda dunia pada era 70-an, permintaan terhadap model berprestasi tinggi seumpama ini sangat berkurangan, memaksa mereka menghentikan pengeluaran. Hampir 16 tahun ia dibekukan, sehingga Naganori Ito mengambil alih projek Skyline generasi ke-8.
Pembangunan model Skyline R32 ini dibuat dari awal dan langsung tidak menyerupai mana-mana model Skyline sebelum itu. Bagi model BNR32 GT-R pula, ia dibekalkan dengan enjin baru RB26DETT yang asalnya dibina untuk tujuan perlumbaan. Hasil percaturan tersebut, ia telah membantu Nissan mendominasi hampir kesemua siri perlumbaan yang disertainya. Naik pening pengeluar lain, sehingga diberi jolokan nama Godzilla.
Ini kereta Limie, sebuah Skyline R32 GTS-t yang telah dilahirkan semula sebagai GT-R. Sejak memiliki kereta ini, rasanya belum lagi dia berhenti melakukan proses naik taraf. Ada jer benda dia nak buat. Nasib baik jenis kerja sendiri. Kalau kerja ngan gomen, mesti dah lama dapat surat tunjuk sebab…
Kereta ini dibekalkan dengan enjin RB20DET, yang tentunya tidak sesuai untuk mereka yang kaki berat. Tengok badan ler! Hasil menabung dari kecik, Limie akhirnya berjaya menggantikan enjin tersebut dengan enjin Godzilla sebenar. Mulanya acah-acah masuk jer. Lepas kena pukau dengan kaki wangan MEX, ia telah dikeluarkan semula untuk dinaik taraf.
Resepi pertama, kuatkan bahagian dalam. Maka berduyun-duyunlah komponen yang disumbat masuk macam piston CP 87mm, conrod H-beam Duratech, galas enjin ACL Race, termasuk penggunaan pam minyak enjin dan pam air N1. Di bahagian atas, kecekapan sistem injap dibantu set camshaft HKS Step II 264°, spring injap HKS Step II, seal injap Supertech dan cam pulley HKS. Kedua-dua bahagian ini kemudiannya dialas gasket keluli Tomei, sebelum diikat kemas menggunakan stud dari ARP.
Sistem pendesak menerima sebuah turbo tunggal HKS T04Z, sekaligus melenyapkan setup berkembar asal. Ia ditenggek di atas manifold keluaran Tonnka, yang turut mengandungi wastegate Turbosmart 50mm. Sistem sejukan boost menggunakan set intercooler GReddy. Manakala boost yang berlebihan, akan dilepas keluar menerusi injap pelepas GReddy Type R.
Bekalan petrol dibawa oleh pam Walbro 400, terus ke rel bahan api HKS. Ia ditembak masuk ke ruang kebuk pembakaran menggunakan set injektor 800cc, sambil kadar tekanannya dilaras menerusi unit regulator Sard. Sistem pencucuhan diperkuatkan dengan koil dari Splitfire, manakala unit ECU Haltech Platinum Sport 2000 bertugas mengawal setiap parameter secara optimum.
Bagi membentuk rupa seperti GT-R, bahagian luar perlu dibina semula supaya kembang. Ia dikemudian disatukan dengan beberapa komponen lain seperti bumper depan N1, hood karbon fiber, cermin sisi Ganador karbon fiber, set diffuser kustom serta lampu belakang LED Nismo. Sebelah dari lampu depannya sengaja dibutakan, untuk menempatkan vent udara karbon fiber yang baru dibeli. Sementara ampaian baju Voltex yang terpacak di ruang belakang, akan memastikan kereta ini kekal jinak ketika ditekan.
Bentuknya yang semakin kembang, sudah tentu memerlukan rim yang lebih sesuai. Cari punya cari, akhirnya terjumpa rim TE37SL selebar 10.5-inci nih. Di sebalik rim tersebut, tersemat set brek Brembo dari R34 GT-R yang dibantu beberapa komponen lain. Sesuai dengan kuasanya, sistem gantungan perlu dikeraskan menggunakan set suspensi boleh laras Apexi N1.
Keadaan ruang kokpit tidak banyak berubah, kecuali kehadiran set rollcage 6-point untuk tujuan keselamatan. Memeluk Limie ketika memandu adalah tempat duduk R34 GT-R serta R32 Nismo untuk penumpang sebelah. Ini disusuli penempatan aksesori lain seperti trim dashboard karbon fiber, boot dan tombol gear Nismo, stereng Nismo, serta unit RSM Apexi sebagai alat paparan.
Kekuatan kereta ini terbukti selepas Limie dengan kereknya membawa gua melayan selekoh Langat. Keras, tapi meyakinkan. Setiap kali pedal tekan, tujahan kuasa yang diterima mampu membuatkan Limie tersengeh puas sendirian…!
SPESIFIKASI
- Pemilik – Limie
- Pengeluar – Nissan
- Model – Skyline R32 GTS-t
- Tahun – 1992
- Enjin Asal – RB20DET
- Modifikasi Enjin – RB26DETT, piston CP 87mm, conrod H-beam Duratech, galas enjin ACL Race, stud ARP, camshaft HKS Step II 264°, spring injap HKS Step II, seal injap Supertech, cam pulley HKS, gasket keluli Tomei, pam minyak N1, pam air N1, radiator aloi AR Racing, plet penyejuk Beatrush, penapis udara Blitz, turbo HKS T04Z, manifold turbo Tonnka, intercooler & paip sambungan GReddy, wastegate Turbosmart 50mm, injap pelepas GReddy Type R, pengawal boost HKS EVC, pam petrol Walbro 400, injektor 800cc, rel bahan api HKS, regulator Sard, koil Splitfire, kabel pembumi HKS, Haltech Platinum Sport 2000
- Transmisi – Kotak gear R32 GT-R, LSD Nismo 1.5-way, klac plet berkembar Ogura Racing
- Ekzos – Kustom 3-inci
- Luaran – Kit badan R32 GT-R, bumper depan R32 GT-R N1, hood karbon fiber, cermin sisi Ganador karbon fiber, vent lampu utama karbon fiber, diffuser belakang kustom, spoiler GT Voltex, lampu belakang LED Nismo
- Suspensi – Apexi N1
- Brek – Brembo R34 GT-R, rotor Dixcel, pad & hos braided Endless
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37SL 18-inci & Nankang 265/35ZR-18
- Dalaman – Rollcage 6-point, trim dashboard karbon fiber, boot & tombol gear Nismo, stereng Nismo, tempat duduk R34 GT-R & R32 Nismo, RSM Apexi
- Bengkel – GT Max Motorsport Cheras, Mussan Motorsport Sunway