Bagi yang pentingkan keselesaan, kenderaan yang boleh memuatkan lebih bagasi dan penumpang menjadi keutamaan khususnya di kalangan mereka yang berkeluarga besar. Pilihan memang banyak memandangkan segmen MPV di negara ini, sangat-sangat meriah. Nak baru, nak seken, nak besar, nak kecik, segala macam model pun ada ditawarkan, bergantung kepada bajet dan kesesuaian masing-masing.
Ironinya, Toyota Vellfire antara pilihan yang paling popular. Tergolong dalam kelas MPV mewah, fungsinya kini bukan sekadar menjadi kenderaan yang diperlukan, tapi turut melambangkan status kejayaan seseorang. Selagi berkemampuan apa salahnya. Andai tak layak pakai yang baru, dapat model seken 2008 pun jadilah. Bukan orang tau pun.
Kalau ada yang perasan, Vellfire ANH20 milik Asyraf ini pernah disiarkan beberapa tahun yang lalu. Masa tu pun, ia sudah datang dengan pakej yang serba lengkap. Luar cantik, dalam kemas, termasuk penggunaan sistem supercharger di bahagian enjin. Lepas lama bertapa mencari ilham, Asyraf kembali semula menjengah dengan setup baru yang lebih menarik.
Vellfire memiliki variasi kit badan yang pelbagai. Biasalah model popular, yang nampak macam gorgon tak siap pun ada. Untuk kereta ini, ia dimulakan dengan kit badan G’s Sport sebagai asas, sebelum ditambah skirt keliling dari Rojam. Memandangkan Asyraf agak obses dengan corak kaben-kaben, sebahagian besar komponen ini telah diserahkan kepada pihak Mr Carbon untuk dibalut dengan kemasan gentian karbon. Banyak jugaklah kalau nak kira. Dari hood, gril, bumper, fender, lip, skirt, diffuser, tailgate, spoiler, cermin sisi, macam-macam lagilah. Tinggal belah tepi ngan bumbung je tak buat.
Memenuhi ruang roda adalah rim berukuran 20-inci jenis Volk Racing TE37 Ultra. Saiz spesel sebenarnya, sebab ia ditempah khas mengikut spesifikasi yang dikehendaki. Memang tak jumpa punya kat kedai. Menjamin kuasa enjinnya tidak sia-sia, ia perlu dibalut pada tayar lebar Michelin Pilot Super Sport dari saiz 245/40ZR-20.
Bila dah rim besar bagak, nak masuk kaliper apa pun takde masalah. Jadi Asyraf memilih untuk menggunakan kit brek Brembo Porsche Cayenne yang diubahsuai. Memastikan kedudukan keretanya terletak elok, sistem gantungan dilengkapi set suspensi Tein Flex A dengan unit pengawal EDFC.
Mengikut catatan, spesifikasi enjin 2AZ-FE yang digunakan masih tidak berubah. Piston Wiseco 88.5mm dan conrod BC Pro Series, terus kekal di tempatnya. Yang betul-betul lain adalah jenis sistem pendesak. Kalau dulu pakai sistem supercharger, ia bagaimanapun telah ditanggalkan dan diganti dengan sistem turbocharger sepenuhnya.
Setup turbo gantung ini menggunakan unit turbo BorgWarner EFR6258 sebagai watak utama. Ia disangkut pada manifold turbo kustom yang turut memegang sepasang wastegate Tial 38mm. Sebaik disejukkan oleh intercooler Blitz, boost berlebihan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS Super SQV. Memastikan perjalanan enjin lebih sempurna, ia ditala dengan piggyback Unichip Q+, termasuk pemasangan modul tambahan untuk sistem pendesak.
Bahagian dalam mengikut spesifikasi ZG sepenuhnya, termasuk kehadiran tempat duduk jenis pilot. Kemudian ada stereng gentian karbon, disusuli gajet bantuan seperti meter tambahan Defi, unit Defi ZD, serta pengawal boost GReddy Profec. Tidak ketinggalan set audio lengkap dari Alpine, untuk hiburan telinga sepanjang perjalanan.
Dah 6 tahun Asyraf bersama anak gajahnya nih. Lama sangat dah tu. Vellfire ngan Alphard baru pun makin meriah sekarang. Takde niat nak join geng robot ke?
SPESIFIKASI
- Pemilik – Mohd Asyraf Shahiruddin
- Pengeluar – Toyota
- Model – Vellfire 2.4Z (ANH20)
- Tahun – 2010
- Enjin Asal – 2AZ-FE
- Modifikasi Enjin – Piston Wiseco 88.5mm, conrod BC Pro Series, port & polish kepala silinder, bolt on turbo, turbo BorgWarner EFR6258, manifold turbo kustom, wastegate Tial 38mm x 2, intercooler Blitz, paip intercooler kustom, injap pelepas HKS Super SQV, penapis udara BMC, penyejuk minyak Koyorad, injektor Bosch 1000cc, piggyback Unichip Q+
- Transmisi – Standard
- Ekzos – Paip ekzos kustom, tip karbon Akrapovic
- Luaran – Kit badan G’s Sport, skirt keliling Rojam, hood, gril, bumper, fender, lip, skirt, diffuser, tailgate, spoiler & cermin sisi gentian karbon
- Suspensi – Tein Flex A & EDFC
- Brek – Kit Brek Brembo Porsche Cayenne
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 Ultra 20-inci & Michelin Pilot Super Sport 245/40ZR-20
- Dalaman – Tempat duduk pilot ZG, stereng gentian karbon, meter Defi, Defi ZD, pengawal boost GReddy Profec, sistem audio Alpine
- Bengkel – Multiplex Auto Care, GT Auto, Riz Smart Enterprise, RB Motorsport, Ching Tyre, ST Wangan, Undersix Exhaust, A Works Performance, Vellfire Malaysia Club, CBS Motorsport, KS Brake Performance, One Auto Car Accessories, Mr. Carbon