Sekumpulan pemilik Mercedes Benz dari Mercedes Benz W124 Club Malaysia, telah mengadakan pertemuan di Kip Mall, Kota Warisan Sepang pada 5 Mei lalu, bagi meraikan kehadiran pasangan Stefan Krallinger dan Melanie Heitmann dari Austria. Mereka tiba ke negara ini sejak sebulan yang lalu, dalam usaha untuk merealisasikan misi 5c100c.
5c100c (5 continents 100 countries) adalah misi pasangan ini untuk menawan 5 benua dan 100 negara dengan sebuah Mercedes Benz W201 190D. Ia bermula sejak awal tahun 2015, di mana mereka telah menghantar kereta bersama trailer serbaguna Camp-Let ke Montevideo, Uruguay. Dari sana, mereka telah merentasi beberapa negara di benua Amerika Selatan seperti Argentina, Chile, Peru dan Colombia, sebelum melangkau ke benua Amerika Utara melalui Panama, Mexico, Amerika Syarikat dan Canada.
Hampir 2 tahun diperuntukkan untuk perjalanan berkenaan. Mereka kemudian kembali semula ke Eropah dan melakukan perjalanan ringkas ke beberapa buah negara seperti German, Austria, Itali dan Perancis. Setibanya di Sepanyol, mereka telah merentas Selat Gibraltar untuk ke Morocco dan Sahara Barat di Afrika.
Atas faktor tertentu, pasangan ini terpaksa kembali ke Eropah buat seketika. Selepas beberapa bulan, mereka nekad meneruskan perjalanan ke benua Asia, melalui Poland, Rusia, China dan Thailand, sebelum tiba ke Malaysia.
Pasangan ini menerima bantuan dari pelbagai pihak, sama ada syarikat mahupun orang perseorangan. Sepanjang perjalanan, mereka turut mengumpul tandatangan di badan kereta sebagai tanda sokongan. Mengikut perancangan, kereta ini kemudian akan dilelong atau didermakan kepada pihak yang memerlukan.
Ketika ini, Stefan dan Melanie telah pulang ke Austria dan kembali semula dalam masa sebulan. Mereka akan merentas lautan bagi memulakan perjalanan ke benua Australia pula. Sepanjang tempoh tersebut, pihak Mercedes Benz W124 Club Malaysia telah diberi kepercayaan untuk menjaga kereta ini sebaik mungkin.
Agak sukar untuk merumuskan pengalaman mereka sepanjang ekspedisi ini. Semoga Stefan dan Melanie, mampu merealisasikan impian mereka dengan jayanya. Bagi yang ingin mengikuti perkembangan misi ini, layari Facebook: 5c100c untuk maklumat lanjut.
Foto: Last Hope & Stefan Krallinger