Pameran automotif Automechanika, telah berlangsung selama 3 hari pada 21-23 Mac yang lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh Messe Frankfurt dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Institut Automotif Robotik & IoT Malaysia (MARii), penganjuran kali ke-11 ini menerima sambutan yang amat menggalakkan, apabila disertai hampir 300 pempamer dan pemain industri dari 16 buah negara seluruh dunia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dr. Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI). Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa, serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari.
Automechanika bertindak sebagai sebuah platform yang menyediakan sumber dagangan dan latihan kepada pemain industri untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan kepada umum. Ia turut mewujudkan peluang kepada mereka menjalin kerjasama strategik, sekaligus mengembangkan perniagaan ke peringkat global. Selain syarikat bertaraf antarabangsa, pameran ini turut menarik minat penyertaan syarikat tempatan seperti Schmaco Auto Parts, Fleetsol, Camel Power, Jeb Auto, NES Oil Seal, Trimas Auto, Vital Technical, Launch Tech, Vanli Group dan lain-lain.
Hampir 8,000 orang pengunjung dalam dan luar negara, telah mengambil peluang untuk berkunjung ke pameran ini. Selain meninjau ruang pameran, pelbagai aktiviti turut disediakan kepada peserta dan pengunjung seperti sesi persidangan dan seminar, pemeteraian perjanjian, bengkel latihan, Auto Nitz Party, serta pertandingan akhir EMMA Malaysia.