Varian terhad Renault Clio yang diperkenalkan sebagai Lutecia Limited Edition telah dilancarkan di UK. Model ini berjaya menambat perhatian ekoran warna hitam metalik dan padanan warna tembaga di gril depan, cermin, saluran pengambilan udara, skirt sisi dan juga bampar belakang. Selain itu, ia dikemaskan lagi dengan set unit rim 17-inci yang juga dikenakan dengan warna tembaga.
Bagi makluman, nama model ini merujuk kepada sebuah bandar Roman, Lutecia. Lutecia Limited Edition hanya dikeluarkan sebanyak 300 unit dan berdasarkan Clio S Edition yang turut membawa ciri-ciri utamanya iaitu lampu ambien dan kluster instrumen digital 7-inci.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pemapar infotainment dan navigasi satelit. Beberapa ciri lain termasuk Lane-Keeping Assist, Lane Departure Warning, brek kecemasan aktif dan pengesan lampu isyarat. Turut tidak ketinggalan, pengesan parking depan dan belakang serta kamera pandang belakang.
Menurut Auto Express, Clio Lutecia Limited Edition ini dikuasakan oleh enjin petrol 1.0-liter 3-silinder yang menghasilkan 89hp dan tork 118 lb-ft (160 Nm) yang mengalirkan kuasa ke tayar hadapan dengan transmisi manual 6-kelajuan. Ianya dijangka berada di pasaran sekitar September ini.
Sumber : Carscoops